Oleh : Wazrul Shah
MATANYA
dipejam rapat. Sesekali dia menghembus nafas dengan kuat. Seperti sukar
untuk dia mengungkapkan apa yang terbuku di hatinya itu. Adakah rasa
hatinya itu benar? Atau sekadar mainan perasaannya sahaja?
Ryea
mengatur langkah dengan perlahan-lahan. Dadanya berdebar-debar. Baru
sebentar tadi dia menyaksikan sesuatu yang membuatkan hatinya hancur!
Dia pasti, apa yang dilihatnya tadi bukanlah ilusi. Dia begitu yakin
sekali. Ryea meraup wajahnya berulang kali. Tubuhnya bergigilan kecil
akibat terkejut dengan sesuatu yang dilihatnya tadi. Atmanya sesak
dihimpit perasaan sedih!
Mengapa lelaki itu sanggup? Mengapa
lelaki itu sanggup mendustai janji yang telah dilafazkan sejak enam
tahun dahulu? Adakah sesuatu telah berlaku pada lelaki itu? Mungkin dia
telah mengalami amnesia? Ryea sukar menafsir rasa hatinya. Yang pasti,
hatinya begitu sakit! Sukar untuk diungkapkan kesakitan itu.
Mungkin
benar apa yang telah dikatakan oleh Hannie. Lelaki itu tidak lain dan
tidak bukan hanya mahu menghancurkan hatinya sahaja. Tiada sekelumitpun
rasa cinta yang tersemat di dalam hati lelaki itu buatnya. Mengapa
lelaki itu sanggup berbuat begitu? Ryea menahan airmatanya dari
berjujuran jatuh. Dia sedaya upaya mengawal perasaan sendunya.
Dia
menapak pergi dari pusat beli-belah itu dengan langkah gontai. Dia
tidak kuat untuk menghadapi kenyataan yang menyakitkan ini. Jika benar
lelaki itu tidak mencintainya selama ini, mengapa tidak lelaki itu
berterus-terang sahaja padanya? Setidaknya tidaklah dia menjadi pungguk
yang merindukan bulan. Enam tahun dia memendam rasa, enam tahun dia
menunggu kehadiran lelaki itu untuk menjadi teman hidupnya.
Tetapi
sekarang? Semuanya hancur sekelip mata. Tanpa sedikit rasa belas,
lelaki itu meruntuhkan empangan airmatanya dan menghancurkan
tembok-tembok cinta yang telah dibinanya sejak bertahun lalu. Jika
sekadar kehadiran lelaki itu untuk mengecewakannya, lebih baik jika
lelaki itu tidak pernah hadir langsung di dalam hidupnya. Lebih baik dia
memendam rasa sendiri, dan lebih elok jika dia bersendirian tanpa
cinta.
“Ryea!” Jeritan seseorang membuatkan Ryea segera mengesat
airmatanya yang begitu deras mengalir. Ryea cuba mengukir senyuman
plastik, cuba berlagak biasa walaupun hatinya begitu hancur.
“Ryea
ke ni?” Lelaki itu bertanya, meminta kepastian. Lambat-lambat Ryea
mengangguk. Lebih baik jika dia menghadapi kenyataan daripada lari dari
kenyataan itu buat selamanya. Lelaki itu mengukir senyuman lebar.
“Awak
dah tak ingat saya? Saya Hydil.. Ingat? Kita sekelas, ingat tak? Maktab
Rendah Sains MARA Batu Pahat?” Hydil cuba mengingatkan wanita yang
berada di hadapan matanya itu. Ryea mengangguk perlahan. Sudah tentu dia
mengingati lelaki itu. Tidak pernah sedetik pun dia melupai nama lelaki
itu.
Hydil Rafael. Wajahnya masih sama seperti dulu, tutur
katanya juga masih sama seperti dulu. Begitu sopan dan penuh kelembutan.
Hydil yang Ryea kenali dulu merupakan seorang lelaki yang begitu
menghormati kaum Hawa. Nyata, sikap lelaki itu tidak berubah hingga
kini.
“Ingat.. Hmm, awak buat apa kat sini?” Soal Ryea walaupun
dia sudah ternampak lelaki itu tadi berjalan beriringan bersama-sama
dengan seorang wanita yang begitu anggun parasnya. Hydil tersenyum
lebar, tidak pula menjawab soalan yang diberikan oleh Ryea itu.
Kocek
seluarnya diseluk. Telefon pintar Galaxy Note dikeluarkan. Hydil
memandang wajah Ryea dengan senyuman yang masih tidak lekang di bibir.
Ryea terkedu seketika. Jujur, dia terpesona dengan senyuman lelaki itu.
Dari dulu hingga sekarang. Mana mungkin dia melupakan senyuman itu? Dan
mana mungkin dia mampu melupakan lelaki yang sentiasa membuatnya
tersenyum tidak kira betapa besar kesedihan yang dihadapi olehnya.
Hydil
mengenyit sebelah matanya kepada Ryea. “Saya rindu betul dengan awak..
Awak dah tukar nombor ya? Mari sini nombor awak, saya nak simpan. Saya
harap ni bukan last time kita jumpa…” Hydil tersenyum lagi. Ryea segera
memberitahu nombor telefonnnya tanpa ragu.
Seketika dia kembali
tersedar. Lelaki itu sudah berpunya! Untuk apa lagi dia mendekatkan
dirinya pada lelaki itu? Dia tidak mahu dilabel sebagai wanita perampas!
Dia tidak mahu mendapat gelaran itu! Dia rela melepaskan Hydil pada
wanita lain seandainya inilah takdir yang telah tertulis buatnya. Jika
begini, dia tidak rela.
Hydil melambai-lambai tangannya di hadapan
wajah Ryea. Ryea tersentak dari lamunan. Wajahnya kembali serius. “Awak
nak buat apa dengan nombor saya? Saya rasa cukup sampai sini aje kita
jumpa.. Lepas ni kita tak payah jumpa lagi,” tegas Ryea berkata. Hydil
terkedu tatkala mendengar kata-kata yang diungkapkan oleh Ryea itu.
Mengapa wanita itu bersikap aneh sekali? Hydil tertanya-tanya sendiri.
“Kenapa ni? Awak tak suka kita jumpa semula?” Hydil mengeluh. Ryea spontan menggeleng.
“Saya
bukan tak suka jumpa awak.. Tapi saya tak nak nanti kena fitnah..”
Jawab Ryea, jujur. Hydil mengerutkan dahinya. Dia sedaya upaya membaca
fikiran Ryea. Ternyata dia gagal. Anak mata Ryea ditatapnya, cuba
menyelami isi hati wanita itu. Tetapi Ryea pantas mengelak.
Baru
sahaja Ryea hendak melanjutkan kata-katanya, seorang wanita yang
mempunyai paras yang begitu anggun dengan spontan memeluk Hydil dari
belakang. Ryea mengetap bibir. Perasaan sakit hatinya itu cuba ditahan.
Jujur diakui, dia cemburu. Cemburu apabila menyaksikan wanita itu
memeluk lelaki yang dicintainya sejak enam tahun dahulu di hadapan
matanya sendiri! Siapa yang tidak sakit hati?
Hydil berpaling ke
belakang, dan dengan selamba Hydil mencium dahi wanita itu di hadapan
khalayak ramai. Sekali lagi Ryea terkedu, dan buat sekali lagi tubuhnya
bergigilan kecil. Perlukah dia menunggu lagi disini? Tidak! Langsung
tidak perlu! Ryea mahu mengatur langkah pergi, tetapi Hydil pantas
menahan.
“Tunggu dulu.. Saya nak perkenalkan awak dengan seseorang ni..” Hydil tersenyum manis. Lesung pipitnya kelihatan.
Ryea
mengangguk, tetapi dia menunduk ke bawah. Dia menahan airmatanya yang
kian tumpah. Begitu mudah sekali Hydil memungkiri janji yang pernah
diungkapkannya dahulu, begitu mudah sekali Hydil menghancurkan hatinya
yang selama ini setia terhadapnya. Mudah sekali!
Ryea memandang
jam tangannya. Dia cuba mencipta seribu satu alasan bagi melepaskan
dirinya dari Hydil dan wanita yang berada disisi Hydil itu. Tetapi dia
tidak dapat memikirkan alasan yang munasabah. Sudahnya, Ryea mendiamkan
diri.
“Ha, ni saya nak perkenalkan awak pada seseorang. This is my
wife, Faten Bazlina..” Hydil tersenyum lagi. Ryea tersentap. Langkahnya
terundur beberapa tapak. Dia benar-benar terkejut. Isteri? Sejak dari
tadi dia hanya menganggap wanita yang berada di sebelah Hydil itu hanya
teman wanitanya. Tetapi sangkaannya jauh meleset. Isteri? Sekali lagi
Ryea dihambat rasa pilu.
Faten dengan riang menghulurkan tangannya
untuk bersalaman. Ryea menyambut huluran tangan itu dengan perasaan
yang hancur. Ketika ini dia tidak dapat menafsir rasa hatinya sendiri.
Sedih? Ya, sudah pasti. Kecewa? Sudah pasti.
Akhirnya Ryea
menitiskan airmatanya, dia tidak dapat menahan airmatanya dari tumpah ke
pipinya. Segera dia menyeka airmatanya itu. Hydil dan Faten memandang
antara satu sama lain. Ryea tersenyum, tetapi airmatanya masih lagi
menitis.
“Maaf, ada habuk masuk mata saya ni..” Ucap Ryea, berbohong. Faten mengangguk, begitu juga dengan Hydil.
Ryea
menyeka airmatanya yang jatuh itu. Dia cuba kelihatan kuat di hadapan
Hydil. Dia tidak mahu kelihatan lemah. Dia harus bangkit dari semua ini.
Untuk apa dia mengharapkan kasih yang telah tiada? Untuk apa dia
menunggu dan terus berharap lagi? Kasih yang diharapkannya selama ini
sudah hancur.
“Saya kena cepat ni Hydil.. Next time kalau ada
masa, kita boleh jumpa lagi..” Ryea memberi alasan, segera dia
bersalaman dengan Faten. Hydil terpaksa akur dengan kenyataan Ryea itu
walaupun ada banyak perkara lagi yang mahu dibincangkannya bersama
dengan Ryea itu.
****
“HANNIE, betul.. Tekaan kau memang
betul..” Ryea menghempaskan tubuh badannya di atas sofa. Hannie yang
ketika itu sedang menonton drama di televisyen tersentak. Segera dia
berpaling memandang wajah sahabatnya itu.
“Eh Ryea, kenapa ni.. Kenapa menangis?” Hannie mendekati sahabatnya itu, airmata Ryea yang mengalir itu disekanya dengan lembut.
Ryea
meraup wajahnya berulang kali. Bagaimana caranya untuk dia menerangkan
hal ini kepada Hannie? Bibirnya sendiri sudah kelu untuk menceritakan
apa yang berlaku. Dia tidak mampu untuk menyebut nama lelaki itu lagi!
Hancur hatinya kerana lelaki itu! Tiada kata dapat dilafazkannya lagi.
“Aku
menyesal.. Aku menyesal sebab terlalu berharap pada dia. Sedangkan aku
tak tahu sebenarnya dia dah lupakan aku,” di dalam sendu Ryea
menuturkan. Hannie jadi sayu. Segera dia memeluk sahabatnya itu. Dia
amat memahami rasa hati Ryea ketika ini. Pasti Ryea berasa begitu
kecewa. Pasti Ryea berasa keseorangan.
“Dah, janganlah menangis..
Mungkin dia bukan jodoh kau.. Tak apalah, cuba fikir positif.. Mungkin
dia tak ada pilihan lain,” Hannie mengusap bahu Ryea dengan lembut. Ryea
menggeleng.
“Dia pasti ada pilihan. Aku sebak bila jumpa dia
semula dengan isteri dia!” Ryea menangis semahunya. Hannie terpempan.
Dia tidak sangka Hydil bertindak sejauh itu. Selama ini dia menyangka
Hydil seorang yang setia. Atmanya juga semerta berasa sesak!
Hannie
mengetap bibirnya. Berani sungguh Hydil memungkiri janjinya. Berani
sungguh Hydil menyakitkan hati sahabatnya. Hannie mengepal penumbuknya.
Pelukannya pantas dileraikan.
“Kau beritahu dengan aku, mana si
Hydil tu.. Biar aku jumpa dengan dia, sekarang juga!” Hannie tidak dapat
mengawal rasa amarahnya. Jika Ryea terluka, dia juga begitu.
Kebahagiaan
Ryea, kebahagiaannya juga! Selama ini dia menjadi pendengar setia
setiap curahan hati Ryea terhadap Hydil. Hampir setahun sahabatnya itu
menjejaki Hydil di Johor Bahru, tetapi usaha sahabatnya itu gagal! Dan
kini, ketika sahabatnya sudah bersua muka dengan Hydil, lelaki itu pula
melukai sahabatnya! Langsung tidak boleh dimaafkan!
“Kau nak buat
apa dengan dia Hannie? Dahlah, dia dah kahwin pun. Biarlah, dah lepas
pun.. Aku tahu aku yang salah dalam hal ni. Aku terlalu berharap pada
dia. Sedangkan aku tahu janji yang dia katakan dulu tu semuanya janji
cinta monyet, tak lebih dari tu.. Aku yang salah dalam hal ni..” Ujar
Ryea, sayu. Hannie semerta menjadi sebak. Dia kembali mendekati Ryea,
sekali lagi dia memeluk Ryea.
“Listen.. Kau tak salah langsung
dalam hal ni. Kau bukan berharap. Kau cuma menunggu dia tunaikan janji.
Dalam hal ni, dia yang bersalah sebab dia tak tunaikan janji dia pada
kau. Kau langsung tak salah.. So stop blaming yourself! Aku tak sangka
Hydil boleh berubah macam tu sekali sejak balik dari Russia..” Keluh
Hannie, perlahan.
Ryea diam tidak menjawab. Mindanya menerawang
jauh. Perlahan-lahan kenangan ketika dia dan Hydil beberapa tahun
kembali bermain di fikiran. Kenangan itu sangat indah, bahkan terlalu
manis untuk dikenangkan. Alangkah indahnya andai kenangan itu dapat
diputarkan kembali. Tetapi.. Semuanya mustahil. Ryea mengeluh, hampa.
****
Imbas kembali..
1 Jun 2006
RYEA
merenung wajah Hydil sepuasnya. Dia tahu, tidak lama lagi dia akan
berpisah dengan lelaki itu. Dia tahu tidak lama lagi Hydil akan
berhijrah ke Russia bersama-sama dengan keluarganya. Ryea tidak mahu
menghalang, langsung tidak terdetik di hatinya untuk melarang lelaki itu
untuk pergi ke rantau orang itu. Jika dia berbuat begitu sekalipun,
apalah dayanya?
“Ryea, awak tak kisah ke kalau saya pergi?” Hydil
bersuara datar. Ryea mengangkat wajahnya. Wajahnya yang cantik itu
membuatkan ramai pelajar lelaki yang berada di Maktab Rendah Sains MARA,
Batu Pahat meminatinya. Sepasang mata yang cantik, mempunyai darah
berkacukan Arab membuatkan Ryea menjadi idaman ramai.
Ryea
mengangkat bahunya. “Saya tak tahu nak kata apa.. Saya tahu, kalau saya
halang awak pun belum tentu permintaan saya diterimakan? Keluarga awak
berpindah ke sana disebabkan awak mendapat tawaran belajar, kan?” Ryea
menebak. Lambat-lambat Hydil mengangguk.
Benar apa yang dikatakan
oleh Ryea itu, jika Ryea menghalangnya pergi sekalipun Ryea tidak mampu
berbuat apa-apa. Hydil buntu. Dia begitu menyayangi Ryea, dan dia mahu
Ryea menjadi suri di dalam hidupnya. Buat selamanya.
Tetapi
keadaan sekarang ini seakan mendesaknya untuk meninggalkan Ryea. Jika
diikutkan hati, mahu sahaja dia meminta orang tuanya meminang Ryea.
Niatnya itu dibatalkan apabila memikirkan risiko yang bakal diterima
nanti.
“Ryea, saya janji dengan awak.. Saya janji, bila saya balik
semula dari Russia tahun 2012 nanti.. Saya akan terus cari awak, kita
kahwin ya?” Ucap Hydil, serius. Ryea terkesima. Dia gembira, tetapi
dalam masa yang sama dia turut terkedu dengan kata-kata Hydil itu.
Adakah Hydil benar-benar serius dengan kata-katanya itu? Ryea
tertanya-tanya.
“Kahwin? Awak gila ke Hydil? Awak berjanji macam
ni, awak fikir elok sangat ke?” Dengus Ryea, cuba menangkis kata-kata
Hydil itu. Hydil menggeleng. Dia memandang wajah Ryea dengan penuh lagak
menggoda.
“Saya tahu tak elok, tapi saya serius. Sejak pertama
kali kita kenal lagi, saya memang nak jadikan awak isteri saya.. Saya
memang berniat nak jadikan awak isteri saya.. Saya tak bergurau, dan
saya serius dengan kata-kata saya ni..” Ryea tersentak. Perlahan-lahan
dia mengangkat wajahnya memandang raut wajah Hydil yang tampan pada
matanya itu. Kening yang lebat, serta kulit yang cerah membuatkan Hydil
kelihatan begitu kacak pada pandangan Ryea.
“Jangan buat kerja
gila.. Saya tak nak menaruh harapan sangat.. Saya takut nanti saya yang
kecewa..” Keluh Ryea. Hydil mendekati Ryea, cuba memegang tangan wanita
itu. Tetapi dia pantas tersedar bahawa tindakannya untuk memegang tangan
wanita itu salah! Dia dan Ryea tidak mempunyai hubungan yang sah. Hydil
segera mengucap panjang.
“Awak tak perlu menaruh harapan pada
saya. Awak cuma perlu setia.. Janji pada saya, janji yang awak akan
setia dan akan tunggu saya..” Hydil memandang wajah Ryea, sekali lagi.
Ryea terkedu.
Nampak gayanya Hydil benar-benar serius. Ryea
mengangguk. Jika itu yang dimahukan oleh Hydil, dia akan cuba. Dia akan
cuba menjadi seorang pencinta yang setia. Dia akan cuba menantikan
kepulangan lelaki itu walaupun hakikatnya payah.
“Saya cuba..” Ryea melafazkan lagi. Hydil tersenyum gembira.
“Saya sayangkan awak Ryea..” Ucap Hydil, penuh romantis.
“Saya
pun sayangkan awak, Hydil.” Dengan perlahan Ryea mengucapkan. Dia malu
untuk melafazkan kata-kata itu. Tetapi dia tidak mahu menyesal kerana
seumur hidupnya dia tidak pernah mengungkapkan rasa sayangnya pada
Hydil. Selama ini lelaki itu yang mengejar cintanya, dan selama ini dia
tidak pernah membalas cinta dari Hydil itu.
Beberapa bulan sebelum
peperiksaan SPM bermula, barulah dia mengatakan bahawa dia mempunyai
perasaan yang serupa dengan Hydil. Ketika itu, hanya ALLAH SWT sahaja
yang tahu kegembiraan yang dirasai oleh Hydil. Tidak sia-sia usahanya
selama tiga tahun itu. Tidak sia-sia dia memikat Ryea.
Dan kini,
mereka bertemu buat kali terakhir selepas empat bulan keputusan SPM
dikeluarkan. Mereka sama-sama memperolehi kejayaan. Kedua-duanya
memperolehi 9A1, dan Hydil mendapat tawaran untuk menyambung
pelajarannya di Russia di dalam bidang perubatan. Manakala Ryea pula
kurang bernasib baik untuk belajar di luar negara, dia hanya mendapat
tajaan untuk belajar di Universiti Malaya.
“Janji dengan saya,
awak akan jadi cikgu yang baik!” Hydil tersenyum manis. Ryea mengangguk.
Dia bercita-cita untuk menjadi guru. Baginya, cita-cita sebagai guru
merupakan satu cita-cita yang murni! Guru menumpahkan ilmu yang ada pada
setiap muridnya ibarat lilin. Dan Ryea mahu berbakti kepada anak
bangsa.
“Dan awak janji dengan saya, awak akan jadi doktor yang
baik! Jangan gatal dengan pesakit perempuan!” Ryea sempat berpesan.
Hydil tergelak besar mendengar pesanan Ryea itu. Mana mungkin dia mampu
melupakan pesanan itu.
“Kalau saya tergatal pun tak boleh ke?”
Hydil cuba mengusik. Ryea mengangkat keningnya. Hannie yang berada lebih
kurang satu meter dari mereka berdua pantas menjerit.
“Hoi!
Berapa lama lagi aku kena tunggu ni? Perut aku dah laparlah!” Hannie
menarik wajah masam. Hydil dan Ryea memandang antara satu sama lain.
Mereka sama-sama tergelak.
“Mari sinilah cikgu! Kita pergi makan..
Biar saya belanja..” Hydil memanggil Hannie dengan lembut. Dia sengaja
memanggil Hannie dengan panggilan cikgu kerana Hannie juga mempunyai
cita-cita yang serupa dengan buah hatinya itu.
Hannie menapak
perlahan-lahan, menghampiri dua merpati sejoli itu. Spontan dia menumbuk
lengan Hydil dengan kuat. Hydil mengaduh kesakitan sembari menggosok
lengannya itu. “Sakitnya.. Ganas betullah awak ni..” Komen Hydil. Hannie
ketawa berdekah-dekah.
“Ketawa berdekah-dekah tu sama aje macam
kawan dengan syaitan.” Sekali lagi Hannie terkena. Hydil tersenyum
semanis gula. Sementara Ryea pula hanya menggeleng kecil melihat telatah
Hydil dan sahabat baiknya itu.
Hydil terfikirkan sesuatu. “Oh ya,
Hannie.. Nanti bila saya takde kat sini.. Awak tolong tengokkan Ryea
ya? Awak kena pastikan dia tak pandang lelaki lain. Awak kena pastikan
dia tatap gambar saya aje hari-hari! Okay?”
“Kau nak bayar aku ke?
Aku okey aje. Nanti bila kau dah jadi doktor, kau kena kasi rawatan
percuma kat aku sebab aku dah sudi nak tengokkan buah hati kau ni..”
Hannie mengangkat-angkat keningnya. Hydil menyepetkan matanya, kemudian
dia mengangguk dan tersenyum.
Hannie melompat kegirangan. Spontan
dia menarik tangan Ryea. “Jomlah! Hydil, kau kata nak belanja makan.
Jom.. Aku dah lapar ni..” Hannie segera mendesak. Hydil menahan tawanya.
Ryea memandang wajah Hydil, sekali lagi. Tanpa disedari Hydil sempat
mengenyitkan sebelah matanya pada Ryea. Ryea tertawa kecil.
“Jom..”
****
“So,
that is Ryea yang abang ceritakan selama ni?” Faten mengangkat
keningnya. Nada suaranya kedengaran datar. Dia melilit tali leher buat
suaminya itu dengan mesra. Hydil mengangguk. Selama ini dia pernah
menceritakan mengenai Ryea pada isterinya itu.
“Itulah orangnya.. Macam mana, cantik tak?” Hydil bertanya, dengan nada bergurau.
Faten
mengangguk. Dia akui, Ryea mempunyai wajah yang cantik. Dia seakan
dapat mengesan sesuatu melalui riak paras wanita itu. Setelah siap
melilit tali leher buat suaminya itu, Faten mencapai haruman CK Eternity
di almari. Lantas disembur haruman itu pada tubuh badan suaminya.
“Nah!
Dah wangi dah dia.. Pergi kerja elok-elok.. Mata tu jaga!” Faten sempat
memberi pesan pada Hydil. Buat seketika Hydil tersentak dengan pesanan
itu. Perasaan bersalah terus menyelinap ke dalam hatinya. Dia dihambat
rasa bersalah! Kata-kata itu pernah didengarinya. Enam tahun lalu. Ya,
enam tahun lalu.
“Abang?” Faten melambaikan tangannya di hadapan
Hydil. Hydil tersentak. Dia cepat-cepat mencapai briefcasenya dan segera
mencium dahi isterinya itu. Setelah isterinya itu menyalam tangannya,
Hydil segera melangkah keluar.
Wajah Ryea bermain-main di dalam
ruang mindanya. Dia mengeluh sesekali mengucap panjang. Adakah perkara
yang dilakukannya ini benar? Adakah dia telah melakukan perkara yang
benar? Melukai hati insan yang dia sayangi? Hydil menggeleng. Dia tidak
mahu lari dari hakikat bahawa dia masih lagi mencintai wanita itu. Tidak
pernah walau sedetik dia melupakan wanita itu. Perkahwinan dia dan
Faten juga diatas beberapa sebab. Dia tiada pilihan lain selain menurut
kata orang tuanya. Dia tidak mahu ingkar pada arahan orang tuanya.
Pada
awalnya dia dan Faten berkahwin hanya sekadar untuk menuruti permintaan
orang tua sahaja. Tetapi selepas beberapa bulan, perasaan cinta itu
kian hadir. Meski begitu, dia tetap mencintai Ryea. Dia tahu, berdosa
jika dia memikirkan tentang wanita lain ketika dia bersama dengan
isterinya sendiri. Tetapi.. Dia tiada pilihan.
Bayangan Ryea sukar
diusir dari mindanya. Senyuman wanita itu, gelak tawanya benar-benar
membuatkan dirinya tidak keruan. Dan sejak dari dulu dia berhajat untuk
menyunting wanita itu sebagai isterinya itu. Hydil keliru dengan
keputusannya. Mengapa dia bersetuju ketika orang tuanya mahu menjodohkan
dia dan Faten? Hydil terdiam.
Peristiwa beberapa bulan yang lalu
kembali menerjah. Walau dia tidak mahu mengingati, tetapi mahu tidak
mahu dia harus menghadapi jua. Jam tangan yang berada di tangannya itu
dipandang lagi. Nafasnya terasa sesak.
****
Imbas kembali..
“IBU
dengan ayah tak nak paksa Hydil.. Tapi Hydil tengok sendiri keadaan
Faten tu macam mana.. Kesian dia.. Dia kehilangan mama dan papanya
serentak. Hydil tak kesian ke?” Puan Eimma bersuara, cuba memujuk anak
lelakinya itu.
Hydil terdiam. Dia tidak tahu hendak berkata apa.
Faten merupakan rakannya yang sama-sama menuntut di Russia. Tetapi Faten
menuntut di universiti yang berbeza di dalam bidang kejuruteraan.
Perkenalannya dengan Faten juga secara tidak sengaja. Ketika itu dia
yang baru sahaja tiba di Russia itu sesat, mujurlah Faten membantunya.
Jika
mahu diikutkan, memang dia terhutang budi dengan wanita itu. Tetapi
perlukah hutang itu dibayar dengan perkahwinan? Mengapa dia pula yang
terbabit untuk membahagiakan wanita itu? Sedangkan ada insan yang
menunggunya di bumi Malaysia? Hydil serba salah.
“Ibu.. Hydil
bukan nak bantah cakap ibu dengan ayah.. Tapi Hydil dah janji dengan
Ryea..” Hydil mengeluh. Dia tidak pernah bersembunyi mengenai
perhubungannya dengan Ryea. Bahkan Puan Eimma tidak pernah melarang
anaknya itu berkawan dengan Ryea. Bagi Puan Eimma, Ryea seorang wanita
yang punya budi bahasa dan adab yang sopan.
“Ryea? Ibu harap dia
pun faham dengan keadaan Hydil sekarang ni.. Ibu betul-betul tak sanggup
nak tengok Faten macam tu.. Ini tahun akhir dia.. Hydil sanggup tengok
dia gagal dan balik semula ke Malaysia tanpa apa-apa? Sudahlah orang tua
dia meninggal dunia..” Puan Eimma tidak meneruskan kata-katanya. Hydil
serba salah.
Adakah patut dia menerima sahaja cadangan ibunya itu?
Adakah patut dia mengahwini Faten demi kebahagiaan wanita itu? Tetapi
bagaimana pula dengan kebahagiaan Ryea? Jika Ryea tahu mengenai perkara
ini, pasti hancur luluh hati wanita itu. Sanggupkah dia melukakan hati
wanita itu? Hydil dalam dilema.
“Begini aje.. Hydil nikah dulu
dengan dia.. Cuba kenali hati budi masing-masing.. Ibu rasa Faten pun
tak setuju. Tapi ini untuk kebaikan dia.. Dan untuk kebaikan Hydil
juga.. Tak apakan?” Puan Eimma sekali lagi cuba berdiplomasi. Hydil
kematian kata. Dia sudah tidak tahu hendak mengungkapkan apa lagi. Apa
lagi yang perlu dikatakannya?
“Tapi ibu..” Sebelum Hydil sempat berkata-kata, Encik Azhar sudah memintas.
“Hydil
pernah kata yang Hydil nak tolong perempuan yang dalam kesusahankan?
Ini waktunya Hydil..” Hydil mengeluh, buat kesekian kalinya. Akhirnya
dia mengangguk, bersetuju.
****
“KALAU boleh, cuba huraikan
setiap isi yang ada dalam setiap perenggan tu.. Saya beri masa setengah
jam untuk siapkan rangka karangan. Apa-apa pertanyaan, boleh jumpa saya
kat depan ni,” Ryea memberi arahan pada pelajarnya.
Sudah hampir
tiga tahun dia berkhidmat di sekolah ini. Dan dalam tempoh masa itu juga
dia berjaya menyandang gelaran guru cemerlang di dalam masa yang begitu
singkat sekali.
Baru sahaja Ryea hendak melabuhkan punggungnya di
atas kerusi sahaja, telefon bimbitnya berbunyi. Ryea mengerutkan
dahinya. Siapa pula yang menelefonnya pada waktu begini? Tidak tahukah
dia sedang sibuk mengajar? Laju sahaja dia mengangkat panggilan
tersebut.
“Assalamualaikum. Siapa ni?” Soal Ryea, garang.
“Waalaikumusalam. Ryea! Hydil ni.. Boleh kita jumpa?” Pinta Hydil di corong telefon.
Ryea
menelan liur. Hydil mahu berjumpa dengannya? Untuk apa? Untuk
menyakitkan hatinya sekali lagi? Untuk memecahkan empangan airmatanya
sekali lagi? Jika begitu, dia sanggup melarikan diri ke hujung dunia
hanya untuk melarikan diri dari lelaki itu! Hatinya sakit. Sangat sakit
apabila mengenang kembali babak mesra di antara Hydil dan isterinya itu.
“Jumpa?
For what? Saya sibuklah Hydil.. Petang ni ada mesyuarat antara
guru-guru.. Post-mortem..” Ryea memberi alasan walau hakikatnya tiada
langsung mesyuarat yang akan diadakan pada petang ini. Dia mahu
menjauhkan dirinya dari Hydil. Lebih cepat lebih elok.
Hydil
mengeluh hampa. Walaubagaimana caranya sekalipun, dia harus berjumpa
dengan Ryea. Dia harus memberitahu Ryea tentang semuanya. Dia tahu pasti
Ryea sudah berkecil hati. Dan dia tahu pasti Ryea sakit hati apabila
memandang dia dan Faten berpelukan tempoh hari.
“Please Ryea,
sekurang-kurangnya awak jumpa saya buat kali terakhir.. Please,” rayu
Hydil. Ryea terkedu. Dia tidak suka apabila Hydil berkata begitu. Buat
kali terakhir? Seakan-akan ada satu makna tersirat yang tersimpan.
Adakah lelaki itu mahu pergi jauh? Ah, tapi biarlah.. Untuk apa aku
mengenangnya lagi? Ryea bermonolog sendiri.
“Cuba beritahu saya,
buat apa awak nak jumpa saya?” Dengan perlahan Ryea bertanya. Dia jadi
lemah setiap kali Hydil bersuara begitu. Dia jadi tidak keruan apabila
Hydil merayunya sebegitu.
“Ada benda yang saya nak cakap dengan
awak.. Ingat.. Tangan awak masih lagi bergari dengan gari saya.. Awak
tak boleh lari jauh dari saya..” Lembut Hydil mengucapkan. Ryea
tersentak. Dia memandang pergelangan tangan kirinya. Jam tangan yang
diberikan Hydil beberapa tahun yang lepas itu masih lagi tersarung
kemas. Bahkan masih elok.
“Gari tu? Awak nak saya pulangkan
semula? Saya boleh pulangkan semula. Dan saya pun boleh pulangkan
perasaan cinta saya pada awak. Semuanya..” Ryea tidak mampu mengawal
kata-katanya. Akhirnya kata-kata itu terlafaz juga dari bibirnya. Dalam
masa yang sama juga airmatanya jatuh ke pipi.
“Ryea! Jangan macam
ni.. Sebab tu saya nak jumpa awak. Please.. Dengar dulu penjelasan
saya..” Pinta Hydil lagi. Ryea tidak mahu berkata-kata lagi. Dia segera
menutup talian. Dia meraup wajahnya dan menangis semahunya. Tetapi suara
tangisannya itu sedaya upaya ditahan. Dia tidak mahu pelajarnya
tersalah anggap.
“Cikgu? Kenapa ni cikgu? Cikgu okey?” Soal salah
seorang pelajar tingkatan 4 Cekal itu. Ryea menyeka airmatanya lantas
mengangguk perlahan.
“Ya.. Saya okey. Dah, sambung kerja semula.
Saya nak pergi toilet sekejap..” Ryea meninggalkan beg tangannya dan
segera menapak ke tandas guru. Di dalam tandas itu, dia memandang
cermin. Pantulan imej wajahnya kelihatan. Ryea cuba bermuhasabah diri.
Perlukah
dia menangis sebegini hanya kerana seorang lelaki? Perlukah dia menjadi
lemah hanya kerana seorang lelaki? Dan perlukah dia hilang segala
keyakinan hanya kerana seorang lelaki? Persoalan itu menganggu mindanya.
Hadir bertalu-talu. Jam tangan yang berada di pergelangan tangannya itu
dibuka. Kenangan indah ketika menerima jam tangan itu akan terus
diingatinya sehingga dia menghembuskan nafasnya yang terakhir.
****
Imbas kembali…
“NAH..
Saya beli dua.. Satu untuk awak, satu untuk saya..” Hydil tersenyum dan
menyerahkan jam tangan Santa Barbara itu kepada Ryea.
Jam tangan
itu dibeli dengan menggunakan wangnya sendiri. Sementara menunggu
keputusan SPM, Hydil sempat bekerja sambilan sebagai seorang jurugambar.
Dan dia dapat meraih sedikit pendapatan buat dirinya. Jika diikutkan,
orang tuanya langsung tidak membenarkan dia bekerja.
Tetapi
disebabkan tidak betah duduk di rumah, Hydil nekad hendak bekerja juga.
Dan hasil kerjanya itu diperuntukkan dengan membeli sepasang jam tangan
Santa Barbara. Dia mahu menghadiahkan sesuatu yang bermakna buat Ryea.
Dia mahu Ryea mengingati saat indah itu selama-lamanya.
“Jam ni
bertindak sebagai gari. Awak tak boleh buka gari ni selagi saya tak beri
arahan! Kalau awak buka bermakna awak dah tak sayang saya lagi. Dan
kalau awak buka bermakna awak dah tak anggap saya istimewa di hati awak
lagi.” Panjang lebar Hydil mengucapkan. Ryea hanya tertawa mendengar
ucapan Hydil itu.
“Kalau saya mandi takkan tak boleh buka?” Ryea menjungkit keningnya. Hydil menggaru-garu kepalanya.
“Kalau
mandi tak apalah! Tapi selepas tu pakai semula. Kalau awak tak pakai
semula jam ni dalam masa 12 jam selepas awak buka bermakna awak dah tak
cintakan saya lagi.” Hydil mengangkat-angkat keningnya. Ryea mencebik.
“Peraturan jenis apa ni? Langsung tak adil. Peraturan macam ni pun boleh pakai ke?” Ryea memprotes. Hydil ketawa.
“Jam
ni juga bertindak sebagai reminder. Jadi each time awak tengok jam ni,
awak akan teringat saya.. Saya nak setiap satu jam awak tengok jam ni!
Boleh? So, awak tak akan lupakan saya walau satu jam pun!” Hydil
bersuara romantis. Ryea menggeleng-geleng kepalanya. Ada sahaja idea
gila yang datang dari kepala Hydil itu.
“Macam-macam fungsi eh jam
ni? Saya tak sangka awak ni jiwangkan?” Ryea cuba mengusik. Wajah Hydil
sudah menjadi merah. Malu dengan kenyataan Ryea itu.
“Mana ada..
Saya cuma jiwang dengan awak aje. Dengan orang lain tak ada.. Sumpah!”
Hydil mengangkat telapak tangannya. Ryea ketawa. Sungguh, dia berasa
begitu bahagia sekarang ini. Jam tangan yang diberikan oleh Hydil itu
segera disarungkan pada tangannya. Dia memikirkan sesuatu. Jika Hydil
memberikannya hadiah, dia juga perlu memberikan sesuatu pada lelaki itu.
Ryea
mengeluarkan dompetnya. Dia mengeluarkan wang RM50 yang sudah lama
tersimpan di dalam dompetnya itu. Begitu pantas sekali dia melipat-lipat
wang itu hingga terhasil bentuk hati. Setelah itu Ryea menyerahkan
lipatan wang itu kepada Hydil.
“Ini hadiah saya untuk awak.. Duit
ni berfungsi sebagai reminder juga. Kalau awak rindu saya, awak cium
duit ni.. Dan duit ni merupakan hati saya yang saya serahkan pada awak.
Bermakna kalau awak dah tak sayangkan saya lagi, awak perlu serahkan
duit ni pada saya..”
“Dah tak sayangkan awak lagi? Tu tak akan
terjadi. Never happen. Walau apapun yang berlaku, saya tetap sayangkan
awal. Sampai bila-bila.” Kata-kata itu dilafaz seiring dengan semilir
angin yang bertiup lembut.
****
RYEA sudah bersedia untuk
keluar dari sekolah. Jam baru sahaja menunjukkan ke pukul dua petang.
Perutnya tiba-tiba berbunyi. Lazimnya dia akan singgah terlebih dahulu
ke Restoran My Friend untuk menjamu selera.
Ryea segera memandu
keretanya ke destinasi yang hendak dituju. Kurang lima belas dia sudah
tiba di restoran berkenaan. Ryea memarkir keretanya itu dan laju sahaja
dia mengorak langkah menaiki tangga.
Sebaik sahaja berada di dalam
restoran itu, Ryea segera duduk. Belum sempat dia memanggil pelayan
itu, datang seorang wanita duduk di hadapannya. Ryea tersentak. Siapa
pula wanita ini? Dia tertanya-tanya.
“Err, maaf. Awak ni siapa ya?” Ryea segera bertanya. Wanita itu hanya tersenyum.
“Saya Faten Bazlina.. Awak tak ingat? Saya isteri Hydil..”
****
Ucapkanlah kasih, satu kata yang kunantikan..
Sebab ku tak mampu membaca matamu.. mendengar bisikmu
Nyanyikanlah kasih, senandung kata hatimu..
Sebab ku tak sanggup mengartikan getar ini.
Sebab ku ragu pada dirimu..
Mengapa berat ungkapkan cinta, padahal ia ada..
Dalam rinai hujan, dalam terang bulan.. Juga dalam sedu-sedan
Mengapa sulit mengaku cinta, padahal ia terasa..
Dalam rindu dendam, hening malam.
Cinta.. Terasa ada..
MALAM
itu, Hydil menelefon Ryea sekali lagi. Dia masih belum berpuas hati
selagi tidak bersua muka dengan wanita itu. Dia mahu menjelaskan hal
yang sebenarnya. Dia sudah tidak mampu menahan gejolak rindu pada wanita
itu. Dia sudah tidak mampu memendam perasaannya lagi. Sudah enam tahun
dia memendam rasa ini.
Akhirnya Hydil nekad untuk terus ke rumah
Ryea. Berbekalkan maklumat yang diterima dari beberapa orang rakannya,
Hydil mendapat tahu kini Ryea menetap di Setia Tropika. Malam ini juga
dia harus memberitahu wanita itu segalanya. Biar pun kenyataan
sebenarnya agak pahit, tetapi lebih elok jika wanita itu tahu mengenai
hal ini.
Sampai sahaja di hadapan rumah Ryea itu, Hydil menekan
loceng. Lama dia menunggu, tiada balasan. Hydil tidak berputus asa.
Alang-alang dia sudah sampai disini, biarlah dia terus menunggu.
Guruh
berdentum. Hujan mulai turun membasahi bumi. Tanpa sedar Hydil
mengalirkan airmatanya setelah sekian lama dia memendam rasa. Dia rela
kesejukan, dan setia menunggu di hadapan kediaman Ryea itu. Hydil tidak
berputus asa, dia mahu membuktikan kepada Ryea bahawa dia masih lagi
mencintai wanita itu.
Sementara itu, Hannie yang berada di dalam
rumah tidak sampai hati melihat keadaan Hydil itu. Dia serba salah.
Perlukah dia membuka pintu dan membenarkan Hydil masuk sahaja? Tetapi
itu tidak mungkin! Hal itu akan merumitkan keadaan! Ryea yang berada di
sebelahnya itu turut memandang.
“Ryea, kau yakin? Kau tak nak jumpa dia?” Soal Hannie.
“Aku
belum bersedia. Biarlah dia kat luar tu..” Tanpa rasa kasihan Ryea
mengucapkan. Hannie mengeluh perlahan. Apa yang telah merasuk minda
sahabatnya itu? Selama ini Ryea begitu mencintai Hydil. Mengapa ketika
Hydil menunjukkan rasa cintanya, Ryea menolak pula?
“Kau tak menyesal?” Hannie bertanya lagi.
Ryea
tidak mampu menjawab soalan itu. Sekali lagi airmatanya gugur. Baginya
permintaan Faten pada petang tadi begitu mustahil untuk dia tunaikan.
Adakah perlu dia menurut sahaja kehendak Faten itu? Ryea keliru, malah
buntu!
Hydil masih lagi menunggu di luar. Dia menggigil menahan
kesejukan. Sesekali dia melaung memanggil nama Ryea. Jika dilihat,
kereta milik Ryea berada di halaman rumah. Begitu juga dengan lampu
rumah yang terpasang. Hydil yakin Ryea cuba melarikan diri darinya.
Tapi.. Mengapa Ryea mahu melarikan diri? Adakah Ryea sudah menganggap
dia melupakan janjinya?
“Awak.. Awak baliklah.. Awak nak apa lagi
ni? Saya tak nak jumpa awak lagi..” Akhirnya Ryea membuka pintu
rumahnya. Hydil menggeleng.
“Saya takkan balik.. Selagi awak tak
dengar penjelasan saya..” Tegas Hydil berkata. Ryea membuka pagar
rumahnya. Hydil menapak ke dalam kawasan rumah Ryea itu. Tetapi Ryea
berada di dalam rumah. Mereka terpisah di balik pintu gril.
“Awak
ni degillah! Saya dah kata, saya tak nak dengar penjelasan awak tu..
Saya cuma nak awak bahagiakan isteri awak. Cukup! Tu pun dah memadai..”
Kata Ryea lagi. Hydil memandang Ryea dengan riak yang serius.
“Saya
nak tunaikan janji saya.. Saya nak jadikan awak isteri saya.. Tolong
Ryea.. Tolong jangan buatkan saya serba salah macam ni.. Ni, duit ni..
Awak ingat lagikan?” Hydil menunjukkan lipatan wang RM50 yang berbentuk
hati itu kepada Ryea. Ryea menggeleng. Dia membuka jam yang berada di
tangannya itu, sekali lagi pantas jam itu diserahkan kepada Hydil.
“Saya
dah tak ada perasaan lagi pada awak Hydil. Saya serahkan semula gari
awak ni. Dan saya harap awak lupakan aje janji awak. Saya rasa kita
memang tak ditakdirkan bersama. Bukan jodoh kita..” Lancar Ryea
menuturkan. Hydil menyeluk poket seluarnya. Dia mengeluarkan sebentuk
cincin.
“Ryea.. Saya tak peduli apa yang awak nak kata. Tapi saya
datang sini tak lain dan tak bukan cuma untuk tunaikan janji saya dan
juga disebabkan rasa cinta saya pada awak. Jadi.. Sudi tak awak jadi
pasangan yang halal buat saya?” Hydil mengungkapkan kata-kata itu dengan
lembut. Seperti biasa.
Ryea menggeleng. Baginya, semua itu sudah
terlambat. Kalaulah Hydil melamarnya sebelum dia mengetahui lelaki itu
belum berpunya, pasti dia dapat menerima kenyataan. Tetapi sekarang ini
dia tidak sukar untuk membuat keputusan. Ya? Atau tidak?
“Beri
saya masa.. Saya tak suka buat keputusan dengan terburu-buru.” Ryea
mendengus, lantas menutup pintu rumahnya. Membiarkan Hydil berseorangan
di luar. Ryea meraup wajahnya. Dia menahan sebak. Disebabkan terlalu
sedih, dia terduduk. Suara tangisannya sedaya upaya ditahan. Dia tidak
mahu Hydil mendengar tangisannya.
Hannie mendekati Ryea, cuba
menenangkan. “Ryea, kalau kau dah bersedia.. Apa kata kau terima aje..
Mana tahu kau boleh dapat kebahagiaan yang kau idamkan selama ni? Bukan
ke kau nak jadi isterinya yang sah? Kan dah lama kau tunggu semua ni..”
Hannie memujuk.
“Tak boleh Hannie. Aku tak sanggup. Fikirkan
tentang isteri dia.. Isteri dia mesti sedih..” Ryea menggeleng-geleng.
Hannie mengelus rambut sahabatnya itu perlahan.
“Tapi kau cakap
isteri dia yang minta kau terima suami dia, kan? Jadi apa yang kau
tunggu lagi? Ryea, ini aje peluang yang kau ada.. Kejar cinta kau atau
kau sendiri yang akan rasa kecewa nanti..” Hannie memberi nasihat. Ryea
termenung panjang. Wajah Hydil semerta menyinggah benaknya.
Senyuman
lelaki itu, lesung pipitnya.. Bahkan segala-gala yang ada pada lelaki
itu menarik perhatiannya. Dia tidak dapat menafikan hakikat dia begitu
mencintai lelaki itu. Dia tidak mahu kehilangan lelaki itu. Ya! Dia
tidak mahu menyesal kemudian hari!
Ryea nekad. Dia bangun semula
dan membuka pintu rumahnya. Dilihatnya Hydil masih lagi setia menunggu
dirinya di luar rumah. Ryea membuka pintu gril. Perlahan-lahan dia
mengangguk. Dia tidak tahu mengapa dia berbuat begitu. Dia berharap
Hydil akan memahami gerak lakunya itu.
Hydil menunjukkan cincin
itu pada Ryea, dan mengangguk-angguk. Meminta kepastian dari Ryea. Dan
buat kesekian kalinya Ryea mengangguk, bersetuju. Tanpa berlengah Hydil
terus melakukan sujud syukur di situ juga. Langkah seterusnya, dia harus
meminta kebenaran dari isteri pertamanya. Semoga semuanya berjalan
dengan lancar.
****
“AKU terima nikahnya Ryea Farhanah binti
Hazfirul dengan mas kahwin dua puluh dua ringgit setengah tunai.”
Dengan sekali lafaz, Ryea sudah sah menjadi milik lelaki bernama Hydil
Rafael. Setelah itu masing-masing membaca doa. Faten tidak lepas
mengucapkan rasa syukurnya ke hadrat Illahi. Dia tidak mempunyai apa-apa
masalah berkaitan perkahwinan ini.
Bahkan dengan rela hati, dia
membenarkan suaminya untuk berkahwin lagi. Tetapi hatinya masih juga
terasa pedih. Pedih apabila mengenangkan dia kini berkongsi kasih sayang
bersama-sama dengan wanita lain. Pedih apabila mengenangkan suaminya
kini menjadi hak milik wanita yang lain juga. Tetapi apa yang lagi yang
diharapkannya? Hanya itu.. Hanya itu sahaja.
“Faten, jom ambil gambar sekali..” Ryea mengajak madunya itu untuk bergambar bersama. Faten menurut sahaja.
Setelah
semuanya telah selesai, Hydil menggengam erat jemari kedua-dua
isterinya itu. “Abang janji akan cuba berlaku adil selagi abang masih
hidup. InsyaALLAH.” Ucap Hydil. Ryea mencebik.
“Sekali lagi abang
berjanji. Jangan berjanji kalau susah untuk ditepati..” Ryea mengkritik.
Hydil tertawa. Spontan dia mencium pipi isterinya itu di hadapan umum.
“Abang
janji dengan Ryea, dan sekarang abang tepatikan? Abang tak mungkir
janjikan? Faten, abang ada mungkir janji ke?” Hydil memeluk pula
isterinya yang pertama itu. Faten tergelak lantas menggeleng.
“Abang
takde mungkir janji. Tapi abang ada lupa janji abang! Abang janji nak
bawa Faten pergi Pulau Tioman, kan?” Ryea mengenyit matanya pada Faten.
Faten mengangguk, mengiakan.
“Yang tu abang ingat.. Cuma abang
takde masa lagi sekarang ni. Eh, housemanship training abang belum habis
lagi eh.. Jadi, faham-fahamlah..” Hydil mengangkat kedua-dua keningnya
serentak. Ryea mencubit lengan suaminya itu dengan kuat.
“Mengada-ngada
abang ni. Dahlah, jom balik..” Pinta Ryea. Hydil memandang isterinya
itu dengan pandangan mata yang nakal. Seakan tersirat sesuatu melalui
pandangan matanya itu.
“Takkan dah tak sabar? Awal lagi ni
sayang..” Hydil mencubit pipi isterinya itu. Wajah Ryea semerta menjadi
merah apabila diusik sebegitu. Sementara Faten pula memalingkan wajahnya
ke arah bertentangan. Dia pula jadi segan apabila mendengar usikan
Hydil itu.
“Apa abang ni.. Tak malu betul.” Ryea memarahi suaminya. Hydil tergelak besar.
“Nak
malu apa.. Kan hubungan kita dah halal..” Hydil mengenyit sebelah
matanya pada Ryea. Ryea segera melangkah ke arah kereta. Hydil cuba
mengejar tetapi Faten sempat menahan.
“Abang, malam ni Faten balik
rumah ibu ya? Biarlah abang dengan Ryea luangkan masa bersama malam
ni.” Ujar Faten, lembut. Hydil mengangguk. Wajah isterinya itu dipandang
lama.
“Faten.. Boleh abang tahu.. Kenapa senang aje Faten berikan
abang kebenaran berkahwin lagi? Faten tak marah? Faten tak rasa
cemburu?” Hydil cuma menafsir isi hati isterinya itu. Faten menggeleng,
seraya tersenyum manis.
“Kalau untuk kebahagiaan abang, Faten tak
kisah..” Dan kata-kata itu membuatkan Hydil dipagut rasa sayu. Begitu
besar sekali pergorbanan isterinya itu padanya. Hydil memeluk Faten
dengan erat, buat seketika dia mencium dahi isterinya itu. Lama.
“Terima kasih untuk semua ni Faten. Abang sayangkan Faten..” Ucap Hydil, ikhlas. Faten hanya mengangguk.
****
Deras hujan yang turun
aku menangis memeluk bayangmu
derai airmataku membasuh hati
terluka kau tinggalkan aku
cinta putih yang kan kau beri
namun tak sempat kau ungkapkan
mengisi kehampaan hatiku disini
sebening embun pagi
luruh menetas di dedaunan
ku tangisi kepergianmu cinta
JAM
sudah menunjukkan ke angka dua pagi. Ryea memandang jendela. Dia
memandang suaminya yang sedang tidur itu. Tidak sangka, dia kini sudah
menjadi isteri Hydil yang sah! Dan dia tidak sangka kini dia berada
bersama-sama dengan Hydil, cinta hatinya sejak di sekolah dahulu.
Ryea
memeluk suaminya itu dengan erat. Betapa dia menyayangi Hydil, hanya
ALLAH SWT sahaja yang tahu. Dan saat berada disisi Hydil, dia berasakan
dunianya berhenti berputar. Tetapi Ryea hairan, mengapa Faten memintanya
untuk menerima Hydil sebagai suami? Ryea tertanya-tanya. Pasti ada
sesuatu yang tersembunyi.
Ryea mengalihkan lengan suaminya itu
dengan perlahan-lahan, dia bergerak ke sebuah almari. Ada sesuatu yang
membuatkan dirinya tertarik untuk melihat isi di dalam almari itu.
Tiba-tiba sahaja telefon bimbit suaminya itu berdering. Ryea mengurut
dadanya. Dia berpura-pura menuju ke tandas.
Hydil mengangkat
panggilan tersebut dan dengan tergesa-gesa dia menukar pakaiannya. Ryea
hanya diam tidak bereaksi. “Abang, nak pergi mana?” Soal Ryea pada
suaminya itu. Hydil tersenyum.
“Abang ada on-call ni. Ryea tak apa
ke duduk rumah seorang? Ke nak abang telefon Faten datang teman Ryea?”
Hydil memberikan isterinya itu pilihan. Ryea segera menggeleng. Dia
tidak kisah jika berseorangan sekalipun. Tidak menjadi masalahnya.
“Lama ke abang pergi?” Soal Ryea, naif.
“Lama
agaknya.. Ryea jangan tunggu abang.” Hydil sempat berpesan. Ryea
mengangguk-angguk. Dan setelah bersiap ala kadar sahaja Hydil segera
melangkah keluar. Sebelum itu dia sempat menghadiahkan ciuman pada dahi
isterinya itu, lama.
****
SETELAH kelibat Hydil tidak
kelihatan, Ryea mendekati semula almari itu. Perlahan-lahan dia membuka
almari itu. Terdapat sebuah kotak di dalam almari itu. Dia mengeluarkan
kotak itu dan membuka kotak tersebut.
Terdapat wang RM50 yang
dilipat menjadi bentuk hati di dalam kotak itu. Ryea amat mengenali
lipatan wang tersebut. Dia tersenyum. Sesuatu menarik perhatiannya! Ada
sebuah catatan seperti sebuah notepad kecil. Ryea membuka satu persatu
catatan tersebut.
Hari ini aku menerima satu berita buruk. Mungkin
ini merupakan satu ujian dari ALLAH SWT untuk aku. Aku tahu DIA sedang
mengujiku. Aku tidak mahu menghebahkan berita ini kepada sesiapa. Tidak
kepada orang tuaku, dan tidak kepada isteriku. Biarlah aku pergi di
dalam keadaan yang tenang nanti.
Tapi.. Sebelum aku pergi, aku
mohon ya ALLAH.. Aku mohon supaya Engkau memberikan aku peluang untuk
menunaikan janjiku itu. Janji yang pernah aku lafazkan pada Ryea
Farhanah. Aku tidak mahu pergi dari dunia ini dengan janji yang tidak
sempat aku tunaikan. Berilah aku peluang itu ya ALLAH..
Seandainya
engkau memberikan aku peluang itu, aku pasti aku boleh pergi dari dunia
ini dengan tenang. Aku pasti aku akan membuatkan Ryea bahagia walaupun
aku telah tiada lagi di dunia ini kelak.
Semua terserah padaMu aku
begini adanya. Dan jika orang yang mencintai aku tahu mengenai hal ini
aku tahu pasti sulit bagi mereka. Aku bukan yang sempurna dari apa pun.
Aku tak nak di kasihani. Walaupun aku patut menerimanya. Biarkanlah aku
dengan semua ini. Kerana aku tahu aku tak layak untuk hidup lama di atas
muka bumiMu ya ALLAH..
Ryea berhenti membaca. Airmatanya tanpa
sedar mengalir laju. Dia mengeluarkan pula beberapa surat yang telah
dilipat di dalam kotak itu. Sekali lagi dia terasa sesak! Hydil?
Menghidap kanser darah? Mengapa selama ini dia tidak mengetahui hal ini?
Mengapa?
Airmatanya laju mengalir tanpa henti. Patutlah Hydil
bersungguh-sungguh. Adakah Faten tahu mengenai hal ini? Dan oleh sebab
itu Faten mahu dia menerima Hydil sebagai suami? Begitu? Ya ALLAH… Ryea
terasa bersalah. Terasa bersalah kerana selama ini dia menuding segala
kesalahan kepada Hydil sedangkan Hydil berusaha bermati-matian untuk
menunaikan janjinya.
Ketukan pintu yang bertalu-talu membuatkan
Ryea segera bergegas ke tingkat bawah. Dia yang masih lagi sedang
dilanda kesedihan itu melangkah pantas. Segera membuka pintu. Sebaik
sahaja dia membuka pintu, dia mendapati Faten dalam keadaan basah kuyup
memandangnya tanpa bicara. Hanya mata yang berbicara.
“A.. Abang… Abang accident!” Kata-kata Faten itu membuatkan Ryea mengigil. Entah bagaimana, dia pengsan!
****
RYEA
membuka kelopak matanya dengan perlahan-lahan. Dia mendapati dia berada
di atas katil. Dia memandang sekeliling. Dia mahu bangun dari katil
tersebut tetapi dia segera ditahan oleh Faten. Ryea masih lagi berada di
dalam keadaan yang lemah. Dua berita mengejutkan diterimanya serentak!
Pada malam yang sama!
“Faten.. Saya kat mana sekarang ni?” Dengan
perlahan Ryea bertanya. Faten menggengam erat jemari Ryea. Dia juga
sedang dilanda kesedihan. Selama ini dia memendam rasa. Selama ini dia
memendam rahsia yang begitu besar sekali.
“Ryea ada kat wad sekarang ni.. Ryea pengsan tadi,” lembut Faten memberitahu. Ryea memandang siling.
“Abang
mana?” Hanya soalan itu yang bermain di fikirannya sejak dari tadi.
Faten diam tidak berkata-kata. Dia tidak tahu hendak memberi jawapan
yang sesuai kepada Ryea ketika ini. Keadaan Ryea juga tidak stabil
ketika ini.
Ryea memandang Faten, memintanya menjelaskan hal yang
sebenar. “Abang.. Abang sekarang ada dekat ICU.. Abang kehilangan banyak
darah. Ditambah lagi dengan kanser darah yang dihidap oleh abang..”
Faten akhirnya menangis. Dia sudah tidak mampu menahan perasaannya.
Ryea
cuba mengawal rasa sedihnya. Meski begitu, airmatanya tetap mengalir
tanpa henti. Ibarat empangan air yang sudah pecah! Ryea memandang Faten,
tajam. ” Selama ni Faten tahu mengenai abangkan? Kenapa Faten tak
pernah cerita pada saya? Kenapa Faten tak pernah cerita yang abang ada
penyakit tu?”
Faten menggeleng. “Kalau saya beritahu Ryea pun,
Ryea boleh buat apa? Penyakit abang tu bawa maut, Ryea! Jadi cara saya
untuk bantu abang cuma satu.. Dengan bantu dia tunaikan janji dia pada
awak dulu.. Salah ke cara saya ni?” Faten menekup wajahnya. Wajahnya
kelihatan sembap.
Ryea memegang tangan madunya itu. Dia memandang
wajah Faten seraya menggeleng. “Tak Faten, tak salah.. Tapi
sekurang-kurangnya kita berdua boleh sama-sama usahakan cari penawar
untuk penyakit abang..” Ryea mengeluh. Faten terdiam. Dia langsung tidak
terfikirkan hal itu. Lagi pula, apa yang dia ketahui kanser darah
sememangnya membawa maut dan amat payah sekali untuk ditemui penawarnya.
Oleh sebab itu dia menemui jalan buntu.
“Tak apalah, kita
sama-sama berdoa supaya abang tak apa-apa..” Ryea menahan sebak. Bibir
Faten bergerak-gerak, seakan-akan mahu memberitahu sesuatu. Tetapi
niatnya itu dikuncikan. Ryea dapat menangkap gerak bibir Faten itu,
dengan segera dia bertanya.
Tetapi Faten bijak mengelak. Dia tidak
mahu menceritakan segala-galanya. Biarlah perkara itu menjadi rahsia
bagi dirinya. Belum sempat Ryea mendesak madunya itu membuka mulut
sekali lagi, kelibat Puan Eimma kelihatan menghampiri mereka.
Langkah
Puan Eimma terhuyung-hayang. Seakan sudah tiada tenaga lagi. Faten
segera bangun dari kerusi dan bergegas mendekati ibu mertuanya itu. Puan
Eimma menggeleng-geleng kepalanya. Dia memegang kepalanya dan mengucap
panjang. Dengan tiba-tiba jantung Ryea berdegup kencang. Dia dapat
merasakan sesuatu. Adakah….
“Ibu, kenapa ni ibu?” Fatin cuba bertanya.
Puan
Eimma tidak dapat berkata-kata. Lidahnya kelu. Pahit sungguh kenyataan
ini. Sukar sungguh untuk dia menerima kenyataan ini. Mengapa? Mengapa
tiba-tiba? Mengapa semuanya berlaku sekelip mata? Puan Eimma akhirnya
mencurahkan airmatanya yang sedari tadi bertakung sejak dia menunggu di
luar wad ICU lagi.
Faten membantu ibu mertuanya menapak ke katil.
Ryea juga sudah mula rasa lebih kuat. Mereka berdua memeluk Puan Eimma.
Puan Eimma menarik nafas sedalam-dalamnya. “Faten, Ryea… Ibu nak kamu
berdua terima semua ni..”
Faten dan Ryea berpandangan sesama
sendiri. Mereka mengetap bibir. Walau pahit kenyataan ini, mereka harus
menghadapinya dengan tenang. Mereka mengangguk-angguk. Bibir Puan Eimma
kelu.
“Hydil… Hydil baru tinggalkan kita lima belas minit yang
lepas…” Puan Eimma tidak dapat menahan kesedihannya. Airmatanya jatuh
mencurah-curah bagaikan hujan yang turun. Sementara di luar pula, hujan
turun dengan lebatnya. Seakan turut sama menangisi kesedihan yang
dialami oleh seorang ibu.
Sementelah, Ryea dan Faten diam tidak
bereaksi. Mereka kehilangan kata-kata. Mereka hanya diam. Lama mereka
begitu, sehinggalah Puan Eimma memberitahu tentang hal itu sekali lagi.
Kali ini, airmata Ryea turun tanpa henti. Begitu juga dengan Faten.
Dalam sekelip mata, mereka kehilangan suami yang dicintai.
Dalam
masa sehari sahaja, dia sudah menjadi balu! Ryea menangis semahunya.
Jika diikutkan, mahu sahaja dia menamatkan riwayat hidupnya sekarang
juga! Jika diikutkan, mahu sahaja dia mengikuti Hydil! Enam tahun dia
menunggu lelaki itu, dan ketika mereka sudah sah menjadi suami isteri,
lelaki itu pula pergi meninggalkannya? Di saat mereka mahu menyemai
semula benih cinta mereka? Di saat mereka hendak melakar bahagia?
Ryea terduduk. Terngiang-ngiang senyuman suaminya dan juga kata-kata akhir sebelum suaminya itu keluar dari rumah.
“Jangan
tunggu abang…” Kata-kata itulah yang membuatkan Ryea dilanda kesedihan.
Dan aneh sekali apabila Hydil mencium dahinya lama. Seakan tidak mahu
melepaskan lagi. Seakan tahu dia akan pergi meninggalkan dunia yang fana
ini. Dunia yang sementara.
Faten pula sudah tidak mampu
mengeluarkan airmatanya. Matanya juga kelihatan bengkak kerana terlalu
banyak mengeluarkan airmata. Dia pantas mendekati Ryea dan mengeluarkan
sesuatu dari beg tangannya. Sekeping sampul surat. Adakah surat itu dari
Hydil? Ryea tertanya-tanya.
“Ryea.. Saya harap kita dapat terima
semua ni dengan tabah. ALLAH lebih sayangkan abang.. Kita berdoa supaya
abang ditempatkan di dalam kalangan orang yang beriman..” Di dalam
sendu, Faten mengucapkan. Ryea memandang wajah Faten itu dan sampul
surat yang berada di dalam genggaman tangan Faten itu beralih tangan.
“Ini
surat dari abang Hydil.. Abang ada pesan pada saya selepas Ryea dan
abang sah jadi suami isteri semalam. Saya dah beritahu abang yang saya
tahu segala-galanya tentang penyakit abang.. Dan abang minta saya
rahsiakan.. Jadi, petang semalam.. Dia ada tulis surat ni.. Dia minta
saya serahkan pada Ryea andai kata dia dah tak ada lagi nanti…” Faten
melanjutkan kata-katanya.
****
Imbas kembali…
FATEN
terdiam. Wajah suaminya itu dipandang sekali lalu. Dia tahu suaminya itu
ingin mendengar penjelasan darinya. Hydil memegang tangan Faten dan
sekali lagi memandang isterinya dengan renungan yang tajam.
“Abang
tahu mesti Faten tahu sesuatu, kan?” Hydil cuba meneka. Faten menunduk
ke bawah. Tidak berani bertentang mata dengan suaminya itu.
Kenyataannya, dia memang mengetahui sesuatu.
Faten menggeleng.
“Tak ada.. Tahu apa? Faten tak tahu apa-apa..” Faten berbohong. Hydil
merapati Faten dan memegang kedua-dua pipi isterinya itu. Dia meminta
isterinya itu memandang terus ke matanya. Faten cuba mengelak, tetapi
dia gagal berbuat begitu. Tenaga lelaki Hydil lebih kuat darinya.
“Tengok
abang.. Kalau Faten tahu mengenai abang.. Faten beritahu.. Faten nak
tipu abang? Faten tak kesiankan abang?” Hydil mendesak. Faten menelan
liur.Dia memegang keduua-dua tangan Hydil yang masih lagi berada di
pipinya itu.
“Kenapa abang tak beritahu saya tentang ni? Kenapa
abang sanggup rahsiakan semua ni?” Airmata Faten mengalir perlahan.
Titisan itu mengalir ibarat mutiara. Hydil mengeluh. Airmata isterinya
itu diseka lembut.
“Abang tak nak bebankan sesiapa. Abang tak nak
susahkan hati sesiapa.. Ni semua salah abang.. Abang tak patut
tinggalkan nota tu dalam almari..” Hydil mengeluh lagi. Faten menggengam
jemari suaminya dengan erat.
“Abang tak salah.. Abang sepatutnya
tahu yang ramai sayangkan abang. Abang sepatutnya tahu yang abang bukan
keseorangan. Kami semua ada untuk abang. Macam mana kalau Ryea tahu
tentang hal ni?” Faten menyuarakan kegelisahannya. Hydil
menggeleng-geleng.
“Ryea takkan tahu tentang hal ni.. Faten kena
pastikan Ryea tak tahu tentang semua ni.. Boleh? Janji dengan abang..”
Hydil menghulurkan jari kelingkingnya untuk ditaut bersama dengan jari
milik Faten. Faten terdiam.
Mampukah dia merahsiakan hal ini dari
pengetahuan madunya itu? Mampukah dia terus mendiamkan diri tentang
penyakit yang dihidapi oleh Hydil itu? Dan mampukah dia terus
berpura-pura? Faten buntu.
“Faten? Janji ya?” Hydil bersuara lagi. Faten tersentak.
“Abang
nak rahsiakan hal ni dari pengetahuan Ryea sampai bila abang?” Keluhan
yang bertali arus dilepaskan. Hydil tersenyum manis.
“Sampai abang
pergi menghadap ALLAH SWT..” Kata-kata Hydil itu membuatku jantung
Faten tersentap! Sungguh, meskipun kematian itu merupakan satu kepastian
bagi umat manusia tetapi Faten tidak mahu suaminya itu mengungkapkan
tentang kematian. Dia tidak bersedia. Dia tidak bersedia kehilangan
lelaki bernama Hydil Rafael itu!
Baginya, Hydil seorang lelaki
yang baik.. Cuma.. Alangkah indahnya andai… Faten lantas membisukan
dirinya. Diam lebih baik dari berbicara ketika ini. “Kenapa abang cakap
macam tu? Abang tahu abang ada harapan sembuhkan?”
Hydil
menggeleng. “Abang ada kurang dua bulan lagi.. Abang dapat tahu tentang
penyakit abang ni pun baru bulan lepas. Dan sebab tu juga abang tekad
nak cari Ryea. Abang tak nak abang mati dalam keadaan yang mengaibkan
disebabkan abang tak tunaikan janji abang pada Ryea dulu..”
“Abang
tak sangka Faten dapat tahu juga tentang hal ni, walaupun abang dah
berusaha sembunyikan rahsia ni dari sesiapa. Patutlah senang aje Faten
beri kebenaran pada abang untuk berkahwin lagi, kan? Kalau ikutkan,
memang Faten tak izinkan abang berkahwin lagi.. Betul tak?” Hydil
tersenyum manis. Faten mengangkat wajah. Dia memandang wajah suaminya
itu, lelaki itu cuba mengawal kesedihannya. Lelaki itu cuba mengawal
airmatanya dari tumpah.
Faten terus memeluk suaminya itu. Dia tahu
pasti begitu perit penderitaan yang dialami oleh suaminya itu untuk
merahsiakan hal ini. Dan dia tahu, pasti payah buat Hydil untuk
menanggung kesakitannya itu seorang diri.
“Apa saja demi
kebahagiaan abang.. Saya sanggup buat apa saja..” Ucap Faten, diiringi
sendu. Hydil tersenyum, dia sudah tidak dapat menampung airmatanya yang
sudah kian bertakung sedari tadi itu.
Airmata lelakinya itu
akhirnya tumpah juga. Membasahi pipi. Hydil mencium dahi isterinya.
“Terima kasih Faten.. Terima kasih sebab memahami abang.. Abang
sayangkan Faten..”
“Abang nak Faten serahkan surat ni kepada Ryea
bila abang dah tak ada lagi.. Abang terfikir untuk minta bantuan kawan
abang.. Tapi memandangkan Faten dah tahu, abang minta tolong Faten ya?
Tolong serahkan surat ni pada Ryea bila abang dah tak ada lagi..”
Airmata Hydil menitis lagi.
****
Langit begitu gelap, hujan juga tak kunjung reda
Ku harus menyaksikan cintaku terenggut tak terselamatkan
Ingin ku ulang hari, ingin ku perbaiki
Kau salah,kau kubutuhkan
Beraninya kau pergi dan tak kembali
Dimana letak surga itu
Biar kugantikan tempatmu denganku
Adakah tanda surga itu
Biar kutemukan untuk bersamamu
Kubiarkan senangku menari di udara
Biar semua tahu kematian tak mengakhiri
cinta..
Apalah artinya hidup tanpa kekasihku
Percuma bila aku disini sendiri
Kekasihku, bersamamu
RYEA
hanya membatukan dirinya. Cerita yang disampaikan oleh Faten sebentar
tadi benar-benar mengguris jiwanya. Ternyata selama ini Hydil cuba
menjejaki dirinya. Bahkan Hydil tidak pernah melupakannya walau sedetik
pun. Selama ini dia menyangka lelaki itu sudah melupakannya. Selama ini
dia menyangka lelaki itu melupakan janjinya. Tetapi.. Lelaki itu sanggup
melakukan apa sahaja demi mematuhi janjinya. Ryea terasa sebak.
“Ryea..
Abang memang sangat sayangkan Ryea. Disebabkan dia tak sanggup nak
mungkiri janji dia pada Ryea, dia belum pernah sentuh saya sampai
sekarang..” Ryea mengangkat wajahnya. Dia seakan tidak mempercayai
kata-kata Faten itu. Adakah Faten sekadar mereka cerita?
Faten
mengangguk. “Betul.. Abang Hydil tak pernah sentuh saya.. Dia kahwin
dengan saya sebab dia nak jaga saya. Walaupun sebenarnya dia cuba
belajar mencintai saya, tetapi dia gagal. Dia gagal membuang bayangan
Ryea dalam hati dia.. Abang Hydil cuma anggap saya sebagai adiknya
selama ni.. Tak lebih dari tu..”
Ryea menangis lagi. Sehingga
sebegitu sekali kesetiaan Hydil padanya. Dia tidak menyangka Hydil setia
terhadapnya sehingga tidak melaksanakan tanggungjawabnya sebagai suami
terhadap Faten. Ryea berasakan dunianya sudah haru-biru. Mengapa?
Mengapa
baru sekarang ini dia mengetahui segalanya? Mengapa baru sekarang dia
mengetahui kesetiaan suaminya itu? Mengapa baru sekarang? Ketika
suaminya itu sudah tiada lagi di dunia ini. Ketika rohnya sudah terpisah
dari jasad. Segala penyesalan sudah tidak bermakna lagi. Yang tinggal
kini hanyalah jasad suaminya sahaja, yang tidak lama lagi akan
dimandikan, dikapankan, disolatkan dan dikebumikan.
Hujan masih
lagi turun membasahi bumi. Hujan masih lagi lebat di luar sana.
Sementelah Ryea sudah tidak bermaya. Begitu juga dengan Faten, tetapi
Faten lebih kuat. Dia dapat menerima kenyataan ini kerana dia tahu
setiap yang bernyawa di atas muka bumi ini adalah milik yang Esa. Milik
ALLAH SWT. Lantas, apa hak yang ada pada manusia untuk mempertikaikan
tentang qada dan qadar yang telah ditentukan olehNya?
Ryea
mengeluarkan telefon bimbitnya, gambar milik suaminya itu ditatap lama.
Senyuman yang manis seolah-olah dihadiahkan hanya buatnya seorang.
Benar. Ternyata cinta yang ada di dalam hati Hydil itu hanya buatnya
seorang. Tidak ada buat yang lain.
Derai airmatanya membasuh hati
dan dia begitu terluka saat Hydil meninggalkannya. Cinta putih yang
diberikan oleh suaminya itu tidak sempat diungkapkan. Mengisi kehampaan
hatinya sendiri. Dia.. Menangisi kepergian Hydil, dengan rela.
Ryea
membuka sampul surat tersebut. Dia menggigil ketika mengeluarkan isi
surat tersebut. Sekeping gambar suaminya yang sedang tersenyum turut
terselit di dalam sampul surat tersebut.
Assalamualaikum buat
isteri abang yang disayangi.. Abang tak ada banyak masa untuk tuliskan
surat yang puitis dan romantik untuk isteri abang. Abang cuma mampu
tuliskan apa yang abang rasa dari hati. Maafkan abang kalau surat ni
nanti buatkan Ryea benci abang..

Selama
enam tahun abang cuba jadi lelaki setia, hanya untuk wanita kesayangan
abang. Selama enam tahun juga abang cuba mengenali diri abang sendiri.
Abang tanya diri abang.. Siapa yang abang sayang? Siapa yang abang
cinta.. Dan selama enam tahun itu, hanya ada satu nama yang bermain di
dalam hati abang.. Hanya ada satu nama dalam hati abang.. Ryea
Farhanah..
Enam tahun lalu, Ryea masih ingatkan? Ryea masih ingat
abang pernah beri Ryea jam. Abang kata abang nak gari tangan Ryea dan
abang nak gari hati Ryea. Memang waktu tu abang terlalu takut. Abang
takut abang akan kehilangan Ryea. Abang takut Ryea berpaling tadah.
Abang takut Ryea lupakan. Enam tahun Ryea, enam tahun.. Banyak benda
boleh berlaku dalam enam tahun tu, dan tak mustahil Ryea boleh berkahwin
dengan orang lain disebabkan janji kita hanya pada mulut, tak ada hitam
putih. Dan sebab tu abang takut. Tapi abang percaya.. Abang percaya
pada Ryea. Abang percaya Ryea akan setia pada abang. Abang percaya Ryea
tak semudahnya lupakan abang. Agak-agaknya Ryea macam tu juga ke? Ryea
percaya tak pada abang? Ryea rasa abang masih ingat janji abang pada
Ryea tak?
Airmata Ryea menitis lagi. Begitu besar sekali
kepercayaan Hydil padanya. Lelaki itu begitu mempercayainya. Sedangkan
dia? Dia menuduh lelaki itu mendustai janji mereka saat terpandang
lelaki itu bersama dengan Faten dahulu. Rasa sendu itu masih berbalas,
sehingga kini. Menghantui jiwa sehingga sekarang. Ryea kembali membaca
surat tersebut. Dia tidak mampu hendak meneruskan pembacaannya. Emosinya
goyah.
Ryea, abang nak Ryea ingat sampai bila-bila yang abang
cintakan Ryea. Abang sayangkan Ryea. Dalam hati abang, abang tak pernah
lupakan Ryea. Dan abang berkahwin dengan Faten bukan sebab abang lupa
pada Ryea. Abang mahu tolong Faten. Tapi percayalah, abang cuma anggap
Faten sebagai adik abang. Tak lebih dari tu.. Alhamdullilah, Faten
faham. Dan dia tak pernah mendesak abang untuk terima dia seadanya.
Ryea,
seandainya abang dah sakitkan hati Ryea. Abang dah lukakan hati Ryea
selama abang bernafas di atas bumi ALLAH ini, abang harap sangat Ryea
boleh maafkan abang. Abang harap sangat yang Ryea akan ingat pengorbanan
abang yang sanggup tunggu Ryea terima semula abang dalam hidup Ryea
sampai basah lencun baju abang.

Ryea ingatkan? Abang tahu, waktu tu Ryea kecewa dengan abang. Tapi
abang lagi kecewa bila tahu Ryea kecewa.. Kebahagiaan abang, kebahagiaan
Ryea. Dan kekecewaan Ryea , kekecewaan abang. Ryea fahamkan maksud
abang?
Dan sekarang ni, janji yang kita lafazkan dah sempurna.
Bersaksikan bumi dan tujuh petala langit tinggi.. Abang pasti akan
merasai cinta yang suci dari Ryea. Ryea kena tahu yang Ryealah rohani
abang yang mengalir di dalam jiwa. Dan Ryea juga Nur yang berkilauan
bercahaya. Setiap nafas yang abang hela, hanya nama Ryea abang sebut.
Cuma Ryea yang satu. Ujian yang terbentang buat abang ni, abang sanggup
hadapi. Yang penting abang dan Ryea disatukan.
Setiap hari abang
cari, dan setiap hari abang tanya.. Cuma nama Ryea yang abang sebut.
Bila abang tidur, cuma ada Ryea. Bila abang bangun, cuma ada Ryea. Itu
yang abang harapkan selama ini. Itu kasih yang abang harapkan selama
ini. Kini, Ryea abang dah miliki. Nama, rupa dan cara.. Bersatu jasad,
dan nyawa, kita serupa.

Kalau Ryea dengar lagu Samudera-Silaturahim, Ryea akan tahu perasaan
sayang abang pada Ryea. Dan kalau Ryea nak tahu betapa tingginya nilai
cinta abang pada Ryea, abang sarankan Ryea hayati lirik Sampai Menutup
Mata.. Ryea tahu lagu tu kan? Kita selalu nyanyi sama-sama dulu.. Supaya
lagu tu jadi peneman Ryea nanti.
Ryea, kalau abang tahu bila
malaikat Izrail akan ambil nyawa abang.. Abang pasti akan mohon pada
ALLAH supaya dipanjangkan lagi umur abang ni. Abang mohon supaya abang
mendapat satu lagi peluang untuk bahagiakan Ryea. Sekurang-kurangnya
untuk beberapa tahun lagi.. Sampailah kita ada cahaya mata. Ryea tak
mahu ke semua tu? Itulah yang abang idamkan sejak dulu.
Hanya itu
saja yang abang nak katakan pada Ryea. Semoga Ryea tak lupakan abang,
walaupun kematian memisahkan kita. Abang nak Ryea tahu yang abang
cintakan Ryea sangat-sangat. Kasih Ryea tak akan dapat abang cari ganti.
Semoga kita bertemu di sana nanti.. InsyaALLAH..
Salam terakhir dari suamimu,
Hydil Rafael.
Surat
yang dibaca olehnya itu akhirnya terlepas dari tangan. Ryea meraung
seolah-olah telah hilang segala-galanya. Melihat keadaan menantunya itu,
Puan Eimma segera mendekati Ryea. Dia tahu, kesedihan yang dialami Ryea
itu amat perit. Tetapi sebagai ibu, dia juga terasa kesedihan itu.
“Ryea..
Ryea kena relakan walaupun payah rela. Kita bersabar ya..” Puan Eimma
memeluk menantunya itu. Ryea menangis tersedu-sedan.
Kisah
cintanya berakhir begitu sahaja. Kasih yang diharapkannya selama ini
akhirnya berakhir seperti ini. Benarlah apa yang Hydil katakan dahulu.
Tiada sesiapa dapat memisahkan mereka berdua.. Hanya ALLAH SWT sahaja
yang mampu memisahkan mereka. Kematian satu kepastian. Cinta Hydil
buatnya dibawa hingga ke liang lahad.
Allah berfirman lagi: “Di
bumi itu kamu hidup dan situ juga kamu mati, dan daripadanya pula kamu
akan dikeluarkan (dibangkitkan hidup semula pada hari kiamat)”.~
Al-A’raaf 7:25
TAMAT
Cinta itu tidak selalu berakhir dengan
bahagia. Kadangkala kita menerima derita disaat mulai merasai bahagia.
Namun itulah realiti di dalam percintaan. Tidak selalunya indah. J
Terima kasih sudi membaca hingga ke hujung cerita. Sebarang kemusykilan
mengenai cerpen ini, boleh ditanya melalui akaun Twitter saya. :
@LeAlterEgo ~Wazrul Shah
-Jack- di ambil dari :