Selasa, 08 Mei 2012

Cerpen : Kasih Yang Kuharap

Oleh : Wazrul Shah
MATANYA dipejam rapat. Sesekali dia menghembus nafas dengan kuat. Seperti sukar untuk dia mengungkapkan apa yang terbuku di hatinya itu. Adakah rasa hatinya itu benar? Atau sekadar mainan perasaannya sahaja?
Ryea mengatur langkah dengan perlahan-lahan. Dadanya berdebar-debar. Baru sebentar tadi dia menyaksikan sesuatu yang membuatkan hatinya hancur! Dia pasti, apa yang dilihatnya tadi bukanlah ilusi. Dia begitu yakin sekali. Ryea meraup wajahnya berulang kali. Tubuhnya bergigilan kecil akibat terkejut dengan sesuatu yang dilihatnya tadi. Atmanya sesak dihimpit perasaan sedih!
Mengapa lelaki itu sanggup? Mengapa lelaki itu sanggup mendustai janji yang telah dilafazkan sejak enam tahun dahulu? Adakah sesuatu telah berlaku pada lelaki itu? Mungkin dia telah mengalami amnesia? Ryea sukar menafsir rasa hatinya. Yang pasti, hatinya begitu sakit! Sukar untuk diungkapkan kesakitan itu.
Mungkin benar apa yang telah dikatakan oleh Hannie. Lelaki itu tidak lain dan tidak bukan hanya mahu menghancurkan hatinya sahaja. Tiada sekelumitpun rasa cinta yang tersemat di dalam hati lelaki itu buatnya. Mengapa lelaki itu sanggup berbuat begitu? Ryea menahan airmatanya dari berjujuran jatuh. Dia sedaya upaya mengawal perasaan sendunya.
Dia menapak pergi dari pusat beli-belah itu dengan langkah gontai. Dia tidak kuat untuk menghadapi kenyataan yang menyakitkan ini. Jika benar lelaki itu tidak mencintainya selama ini, mengapa tidak lelaki itu berterus-terang sahaja padanya? Setidaknya tidaklah dia menjadi pungguk yang merindukan bulan. Enam tahun dia memendam rasa, enam tahun dia menunggu kehadiran lelaki itu untuk menjadi teman hidupnya.
Tetapi sekarang? Semuanya hancur sekelip mata. Tanpa sedikit rasa belas, lelaki itu meruntuhkan empangan airmatanya dan menghancurkan tembok-tembok cinta yang telah dibinanya sejak bertahun lalu. Jika sekadar kehadiran lelaki itu untuk mengecewakannya, lebih baik jika lelaki itu tidak pernah hadir langsung di dalam hidupnya. Lebih baik dia memendam rasa sendiri, dan lebih elok jika dia bersendirian tanpa cinta.
“Ryea!” Jeritan seseorang membuatkan Ryea segera mengesat airmatanya yang begitu deras mengalir. Ryea cuba mengukir senyuman plastik, cuba berlagak biasa walaupun hatinya begitu hancur.
“Ryea ke ni?” Lelaki itu bertanya, meminta kepastian. Lambat-lambat Ryea mengangguk. Lebih baik jika dia menghadapi kenyataan daripada lari dari kenyataan itu buat selamanya. Lelaki itu mengukir senyuman lebar.
“Awak dah tak ingat saya? Saya Hydil.. Ingat? Kita sekelas, ingat tak? Maktab Rendah Sains MARA Batu Pahat?” Hydil cuba mengingatkan wanita yang berada di hadapan matanya itu. Ryea mengangguk perlahan. Sudah tentu dia mengingati lelaki itu. Tidak pernah sedetik pun dia melupai nama lelaki itu.
Hydil Rafael. Wajahnya masih sama seperti dulu, tutur katanya juga masih sama seperti dulu. Begitu sopan dan penuh kelembutan. Hydil yang Ryea kenali dulu merupakan seorang lelaki yang begitu menghormati kaum Hawa. Nyata, sikap lelaki itu tidak berubah hingga kini.
“Ingat.. Hmm, awak buat apa kat sini?” Soal Ryea walaupun dia sudah ternampak lelaki itu tadi berjalan beriringan bersama-sama dengan seorang wanita yang begitu anggun parasnya. Hydil tersenyum lebar, tidak pula menjawab soalan yang diberikan oleh Ryea itu.
Kocek seluarnya diseluk. Telefon pintar Galaxy Note dikeluarkan. Hydil memandang wajah Ryea dengan senyuman yang masih tidak lekang di bibir. Ryea terkedu seketika. Jujur, dia terpesona dengan senyuman lelaki itu. Dari dulu hingga sekarang. Mana mungkin dia melupakan senyuman itu? Dan mana mungkin dia mampu melupakan lelaki yang sentiasa membuatnya tersenyum tidak kira betapa besar kesedihan yang dihadapi olehnya.
Hydil mengenyit sebelah matanya kepada Ryea. “Saya rindu betul dengan awak.. Awak dah tukar nombor ya? Mari sini nombor awak, saya nak simpan. Saya harap ni bukan last time kita jumpa…” Hydil tersenyum lagi. Ryea segera memberitahu nombor telefonnnya tanpa ragu.
Seketika dia kembali tersedar. Lelaki itu sudah berpunya! Untuk apa lagi dia mendekatkan dirinya pada lelaki itu? Dia tidak mahu dilabel sebagai wanita perampas! Dia tidak mahu mendapat gelaran itu! Dia rela melepaskan Hydil pada wanita lain seandainya inilah takdir yang telah tertulis buatnya. Jika begini, dia tidak rela.
Hydil melambai-lambai tangannya di hadapan wajah Ryea. Ryea tersentak dari lamunan. Wajahnya kembali serius. “Awak nak buat apa dengan nombor saya? Saya rasa cukup sampai sini aje kita jumpa.. Lepas ni kita tak payah jumpa lagi,” tegas Ryea berkata. Hydil terkedu tatkala mendengar kata-kata yang diungkapkan oleh Ryea itu. Mengapa wanita itu bersikap aneh sekali? Hydil tertanya-tanya sendiri.
“Kenapa ni? Awak tak suka kita jumpa semula?” Hydil mengeluh. Ryea spontan menggeleng.
“Saya bukan tak suka jumpa awak.. Tapi saya tak nak nanti kena fitnah..” Jawab Ryea, jujur. Hydil mengerutkan dahinya. Dia sedaya upaya membaca fikiran Ryea. Ternyata dia gagal. Anak mata Ryea ditatapnya, cuba menyelami isi hati wanita itu. Tetapi Ryea pantas mengelak.
Baru sahaja Ryea hendak melanjutkan kata-katanya, seorang wanita yang mempunyai paras yang begitu anggun dengan spontan memeluk Hydil dari belakang. Ryea mengetap bibir. Perasaan sakit hatinya itu cuba ditahan. Jujur diakui, dia cemburu. Cemburu apabila menyaksikan wanita itu memeluk lelaki yang dicintainya sejak enam tahun dahulu di hadapan matanya sendiri! Siapa yang tidak sakit hati?
Hydil berpaling ke belakang, dan dengan selamba Hydil mencium dahi wanita itu di hadapan khalayak ramai. Sekali lagi Ryea terkedu, dan buat sekali lagi tubuhnya bergigilan kecil. Perlukah dia menunggu lagi disini? Tidak! Langsung tidak perlu! Ryea mahu mengatur langkah pergi, tetapi Hydil pantas menahan.
“Tunggu dulu.. Saya nak perkenalkan awak dengan seseorang ni..” Hydil tersenyum manis. Lesung pipitnya kelihatan.
Ryea mengangguk, tetapi dia menunduk ke bawah. Dia menahan airmatanya yang kian tumpah. Begitu mudah sekali Hydil memungkiri janji yang pernah diungkapkannya dahulu, begitu mudah sekali Hydil menghancurkan hatinya yang selama ini setia terhadapnya. Mudah sekali!
Ryea memandang jam tangannya. Dia cuba mencipta seribu satu alasan bagi melepaskan dirinya dari Hydil dan wanita yang berada disisi Hydil itu. Tetapi dia tidak dapat memikirkan alasan yang munasabah. Sudahnya, Ryea mendiamkan diri.
“Ha, ni saya nak perkenalkan awak pada seseorang. This is my wife, Faten Bazlina..” Hydil tersenyum lagi. Ryea tersentap. Langkahnya terundur beberapa tapak. Dia benar-benar terkejut. Isteri? Sejak dari tadi dia hanya menganggap wanita yang berada di sebelah Hydil itu hanya teman wanitanya. Tetapi sangkaannya jauh meleset. Isteri? Sekali lagi Ryea dihambat rasa pilu.
Faten dengan riang menghulurkan tangannya untuk bersalaman. Ryea menyambut huluran tangan itu dengan perasaan yang hancur. Ketika ini dia tidak dapat menafsir rasa hatinya sendiri. Sedih? Ya, sudah pasti. Kecewa? Sudah pasti.
Akhirnya Ryea menitiskan airmatanya, dia tidak dapat menahan airmatanya dari tumpah ke pipinya. Segera dia menyeka airmatanya itu. Hydil dan Faten memandang antara satu sama lain. Ryea tersenyum, tetapi airmatanya masih lagi menitis.
“Maaf, ada habuk masuk mata saya ni..” Ucap Ryea, berbohong. Faten mengangguk, begitu juga dengan Hydil.
Ryea menyeka airmatanya yang jatuh itu. Dia cuba kelihatan kuat di hadapan Hydil. Dia tidak mahu kelihatan lemah. Dia harus bangkit dari semua ini. Untuk apa dia mengharapkan kasih yang telah tiada? Untuk apa dia menunggu dan terus berharap lagi? Kasih yang diharapkannya selama ini sudah hancur.
“Saya kena cepat ni Hydil.. Next time kalau ada masa, kita boleh jumpa lagi..” Ryea memberi alasan, segera dia bersalaman dengan Faten. Hydil terpaksa akur dengan kenyataan Ryea itu walaupun ada banyak perkara lagi yang mahu dibincangkannya bersama dengan Ryea itu.
****
“HANNIE, betul.. Tekaan kau memang betul..” Ryea menghempaskan tubuh badannya di atas sofa. Hannie yang ketika itu sedang menonton drama di televisyen tersentak. Segera dia berpaling memandang wajah sahabatnya itu.
“Eh Ryea, kenapa ni.. Kenapa menangis?” Hannie mendekati sahabatnya itu, airmata Ryea yang mengalir itu disekanya dengan lembut.
Ryea meraup wajahnya berulang kali. Bagaimana caranya untuk dia menerangkan hal ini kepada Hannie? Bibirnya sendiri sudah kelu untuk menceritakan apa yang berlaku. Dia tidak mampu untuk menyebut nama lelaki itu lagi! Hancur hatinya kerana lelaki itu! Tiada kata dapat dilafazkannya lagi.
“Aku menyesal.. Aku menyesal sebab terlalu berharap pada dia. Sedangkan aku tak tahu sebenarnya dia dah lupakan aku,” di dalam sendu Ryea menuturkan. Hannie jadi sayu. Segera dia memeluk sahabatnya itu. Dia amat memahami rasa hati Ryea ketika ini. Pasti Ryea berasa begitu kecewa. Pasti Ryea berasa keseorangan.
“Dah, janganlah menangis.. Mungkin dia bukan jodoh kau.. Tak apalah, cuba fikir positif.. Mungkin dia tak ada pilihan lain,” Hannie mengusap bahu Ryea dengan lembut. Ryea menggeleng.
“Dia pasti ada pilihan. Aku sebak bila jumpa dia semula dengan isteri dia!” Ryea menangis semahunya. Hannie terpempan. Dia tidak sangka Hydil bertindak sejauh itu. Selama ini dia menyangka Hydil seorang yang setia. Atmanya juga semerta berasa sesak!
Hannie mengetap bibirnya. Berani sungguh Hydil memungkiri janjinya. Berani sungguh Hydil menyakitkan hati sahabatnya. Hannie mengepal penumbuknya. Pelukannya pantas dileraikan.
“Kau beritahu dengan aku, mana si Hydil tu.. Biar aku jumpa dengan dia, sekarang juga!” Hannie tidak dapat mengawal rasa amarahnya. Jika Ryea terluka, dia juga begitu.
Kebahagiaan Ryea, kebahagiaannya juga! Selama ini dia menjadi pendengar setia setiap curahan hati Ryea terhadap Hydil. Hampir setahun sahabatnya itu menjejaki Hydil di Johor Bahru, tetapi usaha sahabatnya itu gagal! Dan kini, ketika sahabatnya sudah bersua muka dengan Hydil, lelaki itu pula melukai sahabatnya! Langsung tidak boleh dimaafkan!
“Kau nak buat apa dengan dia Hannie? Dahlah, dia dah kahwin pun. Biarlah, dah lepas pun.. Aku tahu aku yang salah dalam hal ni. Aku terlalu berharap pada dia. Sedangkan aku tahu janji yang dia katakan dulu tu semuanya janji cinta monyet, tak lebih dari tu.. Aku yang salah dalam hal ni..” Ujar Ryea, sayu. Hannie semerta menjadi sebak. Dia kembali mendekati Ryea, sekali lagi dia memeluk Ryea.
“Listen.. Kau tak salah langsung dalam hal ni. Kau bukan berharap. Kau cuma menunggu dia tunaikan janji. Dalam hal ni, dia yang bersalah sebab dia tak tunaikan janji dia pada kau. Kau langsung tak salah.. So stop blaming yourself! Aku tak sangka Hydil boleh berubah macam tu sekali sejak balik dari Russia..” Keluh Hannie, perlahan.
Ryea diam tidak menjawab. Mindanya menerawang jauh. Perlahan-lahan kenangan ketika dia dan Hydil beberapa tahun kembali bermain di fikiran. Kenangan itu sangat indah, bahkan terlalu manis untuk dikenangkan. Alangkah indahnya andai kenangan itu dapat diputarkan kembali. Tetapi.. Semuanya mustahil. Ryea mengeluh, hampa.
****
Imbas kembali..
1 Jun 2006
RYEA merenung wajah Hydil sepuasnya. Dia tahu, tidak lama lagi dia akan berpisah dengan lelaki itu. Dia tahu tidak lama lagi Hydil akan berhijrah ke Russia bersama-sama dengan keluarganya. Ryea tidak mahu menghalang, langsung tidak terdetik di hatinya untuk melarang lelaki itu untuk pergi ke rantau orang itu. Jika dia berbuat begitu sekalipun, apalah dayanya?
“Ryea, awak tak kisah ke kalau saya pergi?” Hydil bersuara datar. Ryea mengangkat wajahnya. Wajahnya yang cantik itu membuatkan ramai pelajar lelaki yang berada di Maktab Rendah Sains MARA, Batu Pahat meminatinya. Sepasang mata yang cantik, mempunyai darah berkacukan Arab membuatkan Ryea menjadi idaman ramai.
Ryea mengangkat bahunya. “Saya tak tahu nak kata apa.. Saya tahu, kalau saya halang awak pun belum tentu permintaan saya diterimakan? Keluarga awak berpindah ke sana disebabkan awak mendapat tawaran belajar, kan?” Ryea menebak. Lambat-lambat Hydil mengangguk.
Benar apa yang dikatakan oleh Ryea itu, jika Ryea menghalangnya pergi sekalipun Ryea tidak mampu berbuat apa-apa. Hydil buntu. Dia begitu menyayangi Ryea, dan dia mahu Ryea menjadi suri di dalam hidupnya. Buat selamanya.
Tetapi keadaan sekarang ini seakan mendesaknya untuk meninggalkan Ryea. Jika diikutkan hati, mahu sahaja dia meminta orang tuanya meminang Ryea. Niatnya itu dibatalkan apabila memikirkan risiko yang bakal diterima nanti.
“Ryea, saya janji dengan awak.. Saya janji, bila saya balik semula dari Russia tahun 2012 nanti.. Saya akan terus cari awak, kita kahwin ya?” Ucap Hydil, serius. Ryea terkesima. Dia gembira, tetapi dalam masa yang sama dia turut terkedu dengan kata-kata Hydil itu. Adakah Hydil benar-benar serius dengan kata-katanya itu? Ryea tertanya-tanya.
“Kahwin? Awak gila ke Hydil? Awak berjanji macam ni, awak fikir elok sangat ke?” Dengus Ryea, cuba menangkis kata-kata Hydil itu. Hydil menggeleng. Dia memandang wajah Ryea dengan penuh lagak menggoda.
“Saya tahu tak elok, tapi saya serius. Sejak pertama kali kita kenal lagi, saya memang nak jadikan awak isteri saya.. Saya memang berniat nak jadikan awak isteri saya.. Saya tak bergurau, dan saya serius dengan kata-kata saya ni..” Ryea tersentak. Perlahan-lahan dia mengangkat wajahnya memandang raut wajah Hydil yang tampan pada matanya itu. Kening yang lebat, serta kulit yang cerah membuatkan Hydil kelihatan begitu kacak pada pandangan Ryea.
“Jangan buat kerja gila.. Saya tak nak menaruh harapan sangat.. Saya takut nanti saya yang kecewa..” Keluh Ryea. Hydil mendekati Ryea, cuba memegang tangan wanita itu. Tetapi dia pantas tersedar bahawa tindakannya untuk memegang tangan wanita itu salah! Dia dan Ryea tidak mempunyai hubungan yang sah. Hydil segera mengucap panjang.
“Awak tak perlu menaruh harapan pada saya. Awak cuma perlu setia.. Janji pada saya, janji yang awak akan setia dan akan tunggu saya..” Hydil memandang wajah Ryea, sekali lagi. Ryea terkedu.
Nampak gayanya Hydil benar-benar serius. Ryea mengangguk. Jika itu yang dimahukan oleh Hydil, dia akan cuba. Dia akan cuba menjadi seorang pencinta yang setia. Dia akan cuba menantikan kepulangan lelaki itu walaupun hakikatnya payah.
“Saya cuba..” Ryea melafazkan lagi. Hydil tersenyum gembira.
“Saya sayangkan awak Ryea..” Ucap Hydil, penuh romantis.
“Saya pun sayangkan awak, Hydil.” Dengan perlahan Ryea mengucapkan. Dia malu untuk melafazkan kata-kata itu. Tetapi dia tidak mahu menyesal kerana seumur hidupnya dia tidak pernah mengungkapkan rasa sayangnya pada Hydil. Selama ini lelaki itu yang mengejar cintanya, dan selama ini dia tidak pernah membalas cinta dari Hydil itu.
Beberapa bulan sebelum peperiksaan SPM bermula, barulah dia mengatakan bahawa dia mempunyai perasaan yang serupa dengan Hydil. Ketika itu, hanya ALLAH SWT sahaja yang tahu kegembiraan yang dirasai oleh Hydil. Tidak sia-sia usahanya selama tiga tahun itu. Tidak sia-sia dia memikat Ryea.
Dan kini, mereka bertemu buat kali terakhir selepas empat bulan keputusan SPM dikeluarkan. Mereka sama-sama memperolehi kejayaan. Kedua-duanya memperolehi 9A1, dan Hydil mendapat tawaran untuk menyambung pelajarannya di Russia di dalam bidang perubatan. Manakala Ryea pula kurang bernasib baik untuk belajar di luar negara, dia hanya mendapat tajaan untuk belajar di Universiti Malaya.
“Janji dengan saya, awak akan jadi cikgu yang baik!” Hydil tersenyum manis. Ryea mengangguk. Dia bercita-cita untuk menjadi guru. Baginya, cita-cita sebagai guru merupakan satu cita-cita yang murni! Guru menumpahkan ilmu yang ada pada setiap muridnya ibarat lilin. Dan Ryea mahu berbakti kepada anak bangsa.
“Dan awak janji dengan saya, awak akan jadi doktor yang baik! Jangan gatal dengan pesakit perempuan!” Ryea sempat berpesan. Hydil tergelak besar mendengar pesanan Ryea itu. Mana mungkin dia mampu melupakan pesanan itu.
“Kalau saya tergatal pun tak boleh ke?” Hydil cuba mengusik. Ryea mengangkat keningnya. Hannie yang berada lebih kurang satu meter dari mereka berdua pantas menjerit.
“Hoi! Berapa lama lagi aku kena tunggu ni? Perut aku dah laparlah!” Hannie menarik wajah masam. Hydil dan Ryea memandang antara satu sama lain. Mereka sama-sama tergelak.
“Mari sinilah cikgu! Kita pergi makan.. Biar saya belanja..” Hydil memanggil Hannie dengan lembut. Dia sengaja memanggil Hannie dengan panggilan cikgu kerana Hannie juga mempunyai cita-cita yang serupa dengan buah hatinya itu.
Hannie menapak perlahan-lahan, menghampiri dua merpati sejoli itu. Spontan dia menumbuk lengan Hydil dengan kuat. Hydil mengaduh kesakitan sembari menggosok lengannya itu. “Sakitnya.. Ganas betullah awak ni..” Komen Hydil. Hannie ketawa berdekah-dekah.
“Ketawa berdekah-dekah tu sama aje macam kawan dengan syaitan.” Sekali lagi Hannie terkena. Hydil tersenyum semanis gula. Sementara Ryea pula hanya menggeleng kecil melihat telatah Hydil dan sahabat baiknya itu.
Hydil terfikirkan sesuatu. “Oh ya, Hannie.. Nanti bila saya takde kat sini.. Awak tolong tengokkan Ryea ya? Awak kena pastikan dia tak pandang lelaki lain. Awak kena pastikan dia tatap gambar saya aje hari-hari! Okay?”
“Kau nak bayar aku ke? Aku okey aje. Nanti bila kau dah jadi doktor, kau kena kasi rawatan percuma kat aku sebab aku dah sudi nak tengokkan buah hati kau ni..” Hannie mengangkat-angkat keningnya. Hydil menyepetkan matanya, kemudian dia mengangguk dan tersenyum.
Hannie melompat kegirangan. Spontan dia menarik tangan Ryea. “Jomlah! Hydil, kau kata nak belanja makan. Jom.. Aku dah lapar ni..” Hannie segera mendesak. Hydil menahan tawanya. Ryea memandang wajah Hydil, sekali lagi. Tanpa disedari Hydil sempat mengenyitkan sebelah matanya pada Ryea. Ryea tertawa kecil.
“Jom..”
****
“So, that is Ryea yang abang ceritakan selama ni?” Faten mengangkat keningnya. Nada suaranya kedengaran datar. Dia melilit tali leher buat suaminya itu dengan mesra. Hydil mengangguk. Selama ini dia pernah menceritakan mengenai Ryea pada isterinya itu.
“Itulah orangnya.. Macam mana, cantik tak?” Hydil bertanya, dengan nada bergurau.
Faten mengangguk. Dia akui, Ryea mempunyai wajah yang cantik. Dia seakan dapat mengesan sesuatu melalui riak paras wanita itu. Setelah siap melilit tali leher buat suaminya itu, Faten mencapai haruman CK Eternity di almari. Lantas disembur haruman itu pada tubuh badan suaminya.
“Nah! Dah wangi dah dia.. Pergi kerja elok-elok.. Mata tu jaga!” Faten sempat memberi pesan pada Hydil. Buat seketika Hydil tersentak dengan pesanan itu. Perasaan bersalah terus menyelinap ke dalam hatinya. Dia dihambat rasa bersalah! Kata-kata itu pernah didengarinya. Enam tahun lalu. Ya, enam tahun lalu.
“Abang?” Faten melambaikan tangannya di hadapan Hydil. Hydil tersentak. Dia cepat-cepat mencapai briefcasenya dan segera mencium dahi isterinya itu. Setelah isterinya itu menyalam tangannya, Hydil segera melangkah keluar.
Wajah Ryea bermain-main di dalam ruang mindanya. Dia mengeluh sesekali mengucap panjang. Adakah perkara yang dilakukannya ini benar? Adakah dia telah melakukan perkara yang benar? Melukai hati insan yang dia sayangi? Hydil menggeleng. Dia tidak mahu lari dari hakikat bahawa dia masih lagi mencintai wanita itu. Tidak pernah walau sedetik dia melupakan wanita itu. Perkahwinan dia dan Faten juga diatas beberapa sebab. Dia tiada pilihan lain selain menurut kata orang tuanya. Dia tidak mahu ingkar pada arahan orang tuanya.
Pada awalnya dia dan Faten berkahwin hanya sekadar untuk menuruti permintaan orang tua sahaja. Tetapi selepas beberapa bulan, perasaan cinta itu kian hadir. Meski begitu, dia tetap mencintai Ryea. Dia tahu, berdosa jika dia memikirkan tentang wanita lain ketika dia bersama dengan isterinya sendiri. Tetapi.. Dia tiada pilihan.
Bayangan Ryea sukar diusir dari mindanya. Senyuman wanita itu, gelak tawanya benar-benar membuatkan dirinya tidak keruan. Dan sejak dari dulu dia berhajat untuk menyunting wanita itu sebagai isterinya itu. Hydil keliru dengan keputusannya. Mengapa dia bersetuju ketika orang tuanya mahu menjodohkan dia dan Faten? Hydil terdiam.
Peristiwa beberapa bulan yang lalu kembali menerjah. Walau dia tidak mahu mengingati, tetapi mahu tidak mahu dia harus menghadapi jua. Jam tangan yang berada di tangannya itu dipandang lagi. Nafasnya terasa sesak.
****
Imbas kembali..
“IBU dengan ayah tak nak paksa Hydil.. Tapi Hydil tengok sendiri keadaan Faten tu macam mana.. Kesian dia.. Dia kehilangan mama dan papanya serentak. Hydil tak kesian ke?” Puan Eimma bersuara, cuba memujuk anak lelakinya itu.
Hydil terdiam. Dia tidak tahu hendak berkata apa. Faten merupakan rakannya yang sama-sama menuntut di Russia. Tetapi Faten menuntut di universiti yang berbeza di dalam bidang kejuruteraan. Perkenalannya dengan Faten juga secara tidak sengaja. Ketika itu dia yang baru sahaja tiba di Russia itu sesat, mujurlah Faten membantunya.
Jika mahu diikutkan, memang dia terhutang budi dengan wanita itu. Tetapi perlukah hutang itu dibayar dengan perkahwinan? Mengapa dia pula yang terbabit untuk membahagiakan wanita itu? Sedangkan ada insan yang menunggunya di bumi Malaysia? Hydil serba salah.
“Ibu.. Hydil bukan nak bantah cakap ibu dengan ayah.. Tapi Hydil dah janji dengan Ryea..” Hydil mengeluh. Dia tidak pernah bersembunyi mengenai perhubungannya dengan Ryea. Bahkan Puan Eimma tidak pernah melarang anaknya itu berkawan dengan Ryea. Bagi Puan Eimma, Ryea seorang wanita yang punya budi bahasa dan adab yang sopan.
“Ryea? Ibu harap dia pun faham dengan keadaan Hydil sekarang ni.. Ibu betul-betul tak sanggup nak tengok Faten macam tu.. Ini tahun akhir dia.. Hydil sanggup tengok dia gagal dan balik semula ke Malaysia tanpa apa-apa? Sudahlah orang tua dia meninggal dunia..” Puan Eimma tidak meneruskan kata-katanya. Hydil serba salah.
Adakah patut dia menerima sahaja cadangan ibunya itu? Adakah patut dia mengahwini Faten demi kebahagiaan wanita itu? Tetapi bagaimana pula dengan kebahagiaan Ryea? Jika Ryea tahu mengenai perkara ini, pasti hancur luluh hati wanita itu. Sanggupkah dia melukakan hati wanita itu? Hydil dalam dilema.
“Begini aje.. Hydil nikah dulu dengan dia.. Cuba kenali hati budi masing-masing.. Ibu rasa Faten pun tak setuju. Tapi ini untuk kebaikan dia.. Dan untuk kebaikan Hydil juga.. Tak apakan?” Puan Eimma sekali lagi cuba berdiplomasi. Hydil kematian kata. Dia sudah tidak tahu hendak mengungkapkan apa lagi. Apa lagi yang perlu dikatakannya?
“Tapi ibu..” Sebelum Hydil sempat berkata-kata, Encik Azhar sudah memintas.
“Hydil pernah kata yang Hydil nak tolong perempuan yang dalam kesusahankan? Ini waktunya Hydil..” Hydil mengeluh, buat kesekian kalinya. Akhirnya dia mengangguk, bersetuju.
****
“KALAU boleh, cuba huraikan setiap isi yang ada dalam setiap perenggan tu.. Saya beri masa setengah jam untuk siapkan rangka karangan. Apa-apa pertanyaan, boleh jumpa saya kat depan ni,” Ryea memberi arahan pada pelajarnya.
Sudah hampir tiga tahun dia berkhidmat di sekolah ini. Dan dalam tempoh masa itu juga dia berjaya menyandang gelaran guru cemerlang di dalam masa yang begitu singkat sekali.
Baru sahaja Ryea hendak melabuhkan punggungnya di atas kerusi sahaja, telefon bimbitnya berbunyi. Ryea mengerutkan dahinya. Siapa pula yang menelefonnya pada waktu begini? Tidak tahukah dia sedang sibuk mengajar? Laju sahaja dia mengangkat panggilan tersebut.
“Assalamualaikum. Siapa ni?” Soal Ryea, garang.
“Waalaikumusalam. Ryea! Hydil ni.. Boleh kita jumpa?” Pinta Hydil di corong telefon.
Ryea menelan liur. Hydil mahu berjumpa dengannya? Untuk apa? Untuk menyakitkan hatinya sekali lagi? Untuk memecahkan empangan airmatanya sekali lagi? Jika begitu, dia sanggup melarikan diri ke hujung dunia hanya untuk melarikan diri dari lelaki itu! Hatinya sakit. Sangat sakit apabila mengenang kembali babak mesra di antara Hydil dan isterinya itu.
“Jumpa? For what? Saya sibuklah Hydil.. Petang ni ada mesyuarat antara guru-guru.. Post-mortem..” Ryea memberi alasan walau hakikatnya tiada langsung mesyuarat yang akan diadakan pada petang ini. Dia mahu menjauhkan dirinya dari Hydil. Lebih cepat lebih elok.
Hydil mengeluh hampa. Walaubagaimana caranya sekalipun, dia harus berjumpa dengan Ryea. Dia harus memberitahu Ryea tentang semuanya. Dia tahu pasti Ryea sudah berkecil hati. Dan dia tahu pasti Ryea sakit hati apabila memandang dia dan Faten berpelukan tempoh hari.
“Please Ryea, sekurang-kurangnya awak jumpa saya buat kali terakhir.. Please,” rayu Hydil. Ryea terkedu. Dia tidak suka apabila Hydil berkata begitu. Buat kali terakhir? Seakan-akan ada satu makna tersirat yang tersimpan. Adakah lelaki itu mahu pergi jauh? Ah, tapi biarlah.. Untuk apa aku mengenangnya lagi? Ryea bermonolog sendiri.
“Cuba beritahu saya, buat apa awak nak jumpa saya?” Dengan perlahan Ryea bertanya. Dia jadi lemah setiap kali Hydil bersuara begitu. Dia jadi tidak keruan apabila Hydil merayunya sebegitu.
“Ada benda yang saya nak cakap dengan awak.. Ingat.. Tangan awak masih lagi bergari dengan gari saya.. Awak tak boleh lari jauh dari saya..” Lembut Hydil mengucapkan. Ryea tersentak. Dia memandang pergelangan tangan kirinya. Jam tangan yang diberikan Hydil beberapa tahun yang lepas itu masih lagi tersarung kemas. Bahkan masih elok.
“Gari tu? Awak nak saya pulangkan semula? Saya boleh pulangkan semula. Dan saya pun boleh pulangkan perasaan cinta saya pada awak. Semuanya..” Ryea tidak mampu mengawal kata-katanya. Akhirnya kata-kata itu terlafaz juga dari bibirnya. Dalam masa yang sama juga airmatanya jatuh ke pipi.
“Ryea! Jangan macam ni.. Sebab tu saya nak jumpa awak. Please.. Dengar dulu penjelasan saya..” Pinta Hydil lagi. Ryea tidak mahu berkata-kata lagi. Dia segera menutup talian. Dia meraup wajahnya dan menangis semahunya. Tetapi suara tangisannya itu sedaya upaya ditahan. Dia tidak mahu pelajarnya tersalah anggap.
“Cikgu? Kenapa ni cikgu? Cikgu okey?” Soal salah seorang pelajar tingkatan 4 Cekal itu. Ryea menyeka airmatanya lantas mengangguk perlahan.
“Ya.. Saya okey. Dah, sambung kerja semula. Saya nak pergi toilet sekejap..” Ryea meninggalkan beg tangannya dan segera menapak ke tandas guru. Di dalam tandas itu, dia memandang cermin. Pantulan imej wajahnya kelihatan. Ryea cuba bermuhasabah diri.
Perlukah dia menangis sebegini hanya kerana seorang lelaki? Perlukah dia menjadi lemah hanya kerana seorang lelaki? Dan perlukah dia hilang segala keyakinan hanya kerana seorang lelaki? Persoalan itu menganggu mindanya. Hadir bertalu-talu. Jam tangan yang berada di pergelangan tangannya itu dibuka. Kenangan indah ketika menerima jam tangan itu akan terus diingatinya sehingga dia menghembuskan nafasnya yang terakhir.
****
Imbas kembali…
“NAH.. Saya beli dua.. Satu untuk awak, satu untuk saya..” Hydil tersenyum dan menyerahkan jam tangan Santa Barbara itu kepada Ryea.
Jam tangan itu dibeli dengan menggunakan wangnya sendiri. Sementara menunggu keputusan SPM, Hydil sempat bekerja sambilan sebagai seorang jurugambar. Dan dia dapat meraih sedikit pendapatan buat dirinya. Jika diikutkan, orang tuanya langsung tidak membenarkan dia bekerja.
Tetapi disebabkan tidak betah duduk di rumah, Hydil nekad hendak bekerja juga. Dan hasil kerjanya itu diperuntukkan dengan membeli sepasang jam tangan Santa Barbara. Dia mahu menghadiahkan sesuatu yang bermakna buat Ryea. Dia mahu Ryea mengingati saat indah itu selama-lamanya.
“Jam ni bertindak sebagai gari. Awak tak boleh buka gari ni selagi saya tak beri arahan! Kalau awak buka bermakna awak dah tak sayang saya lagi. Dan kalau awak buka bermakna awak dah tak anggap saya istimewa di hati awak lagi.” Panjang lebar Hydil mengucapkan. Ryea hanya tertawa mendengar ucapan Hydil itu.
“Kalau saya mandi takkan tak boleh buka?” Ryea menjungkit keningnya. Hydil menggaru-garu kepalanya.
“Kalau mandi tak apalah! Tapi selepas tu pakai semula. Kalau awak tak pakai semula jam ni dalam masa 12 jam selepas awak buka bermakna awak dah tak cintakan saya lagi.” Hydil mengangkat-angkat keningnya. Ryea mencebik.
“Peraturan jenis apa ni? Langsung tak adil. Peraturan macam ni pun boleh pakai ke?” Ryea memprotes. Hydil ketawa.
“Jam ni juga bertindak sebagai reminder. Jadi each time awak tengok jam ni, awak akan teringat saya.. Saya nak setiap satu jam awak tengok jam ni! Boleh? So, awak tak akan lupakan saya walau satu jam pun!” Hydil bersuara romantis. Ryea menggeleng-geleng kepalanya. Ada sahaja idea gila yang datang dari kepala Hydil itu.
“Macam-macam fungsi eh jam ni? Saya tak sangka awak ni jiwangkan?” Ryea cuba mengusik. Wajah Hydil sudah menjadi merah. Malu dengan kenyataan Ryea itu.
“Mana ada.. Saya cuma jiwang dengan awak aje. Dengan orang lain tak ada.. Sumpah!” Hydil mengangkat telapak tangannya. Ryea ketawa. Sungguh, dia berasa begitu bahagia sekarang ini. Jam tangan yang diberikan oleh Hydil itu segera disarungkan pada tangannya. Dia memikirkan sesuatu. Jika Hydil memberikannya hadiah, dia juga perlu memberikan sesuatu pada lelaki itu.
Ryea mengeluarkan dompetnya. Dia mengeluarkan wang RM50 yang sudah lama tersimpan di dalam dompetnya itu. Begitu pantas sekali dia melipat-lipat wang itu hingga terhasil bentuk hati. Setelah itu Ryea menyerahkan lipatan wang itu kepada Hydil.
“Ini hadiah saya untuk awak.. Duit ni berfungsi sebagai reminder juga. Kalau awak rindu saya, awak cium duit ni.. Dan duit ni merupakan hati saya yang saya serahkan pada awak. Bermakna kalau awak dah tak sayangkan saya lagi, awak perlu serahkan duit ni pada saya..”
“Dah tak sayangkan awak lagi? Tu tak akan terjadi. Never happen. Walau apapun yang berlaku, saya tetap sayangkan awal. Sampai bila-bila.” Kata-kata itu dilafaz seiring dengan semilir angin yang bertiup lembut.
****
RYEA sudah bersedia untuk keluar dari sekolah. Jam baru sahaja menunjukkan ke pukul dua petang. Perutnya tiba-tiba berbunyi. Lazimnya dia akan singgah terlebih dahulu ke Restoran My Friend untuk menjamu selera.
Ryea segera memandu keretanya ke destinasi yang hendak dituju. Kurang lima belas dia sudah tiba di restoran berkenaan. Ryea memarkir keretanya itu dan laju sahaja dia mengorak langkah menaiki tangga.
Sebaik sahaja berada di dalam restoran itu, Ryea segera duduk. Belum sempat dia memanggil pelayan itu, datang seorang wanita duduk di hadapannya. Ryea tersentak. Siapa pula wanita ini? Dia tertanya-tanya.
“Err, maaf. Awak ni siapa ya?” Ryea segera bertanya. Wanita itu hanya tersenyum.
“Saya Faten Bazlina.. Awak tak ingat? Saya isteri Hydil..”
****
Ucapkanlah kasih, satu kata yang kunantikan..
Sebab ku tak mampu membaca matamu.. mendengar bisikmu
Nyanyikanlah kasih, senandung kata hatimu..
Sebab ku tak sanggup mengartikan getar ini.
Sebab ku ragu pada dirimu..
Mengapa berat ungkapkan cinta, padahal ia ada..
Dalam rinai hujan, dalam terang bulan.. Juga dalam sedu-sedan
Mengapa sulit mengaku cinta, padahal ia terasa..
Dalam rindu dendam, hening malam.
Cinta.. Terasa ada..
MALAM itu, Hydil menelefon Ryea sekali lagi. Dia masih belum berpuas hati selagi tidak bersua muka dengan wanita itu. Dia mahu menjelaskan hal yang sebenarnya. Dia sudah tidak mampu menahan gejolak rindu pada wanita itu. Dia sudah tidak mampu memendam perasaannya lagi. Sudah enam tahun dia memendam rasa ini.
Akhirnya Hydil nekad untuk terus ke rumah Ryea. Berbekalkan maklumat yang diterima dari beberapa orang rakannya, Hydil mendapat tahu kini Ryea menetap di Setia Tropika. Malam ini juga dia harus memberitahu wanita itu segalanya. Biar pun kenyataan sebenarnya agak pahit, tetapi lebih elok jika wanita itu tahu mengenai hal ini.
Sampai sahaja di hadapan rumah Ryea itu, Hydil menekan loceng. Lama dia menunggu, tiada balasan. Hydil tidak berputus asa. Alang-alang dia sudah sampai disini, biarlah dia terus menunggu.
Guruh berdentum. Hujan mulai turun membasahi bumi. Tanpa sedar Hydil mengalirkan airmatanya setelah sekian lama dia memendam rasa. Dia rela kesejukan, dan setia menunggu di hadapan kediaman Ryea itu. Hydil tidak berputus asa, dia mahu membuktikan kepada Ryea bahawa dia masih lagi mencintai wanita itu.
Sementara itu, Hannie yang berada di dalam rumah tidak sampai hati melihat keadaan Hydil itu. Dia serba salah. Perlukah dia membuka pintu dan membenarkan Hydil masuk sahaja? Tetapi itu tidak mungkin! Hal itu akan merumitkan keadaan! Ryea yang berada di sebelahnya itu turut memandang.
“Ryea, kau yakin? Kau tak nak jumpa dia?” Soal Hannie.
“Aku belum bersedia. Biarlah dia kat luar tu..” Tanpa rasa kasihan Ryea mengucapkan. Hannie mengeluh perlahan. Apa yang telah merasuk minda sahabatnya itu? Selama ini Ryea begitu mencintai Hydil. Mengapa ketika Hydil menunjukkan rasa cintanya, Ryea menolak pula?
“Kau tak menyesal?” Hannie bertanya lagi.
Ryea tidak mampu menjawab soalan itu. Sekali lagi airmatanya gugur. Baginya permintaan Faten pada petang tadi begitu mustahil untuk dia tunaikan. Adakah perlu dia menurut sahaja kehendak Faten itu? Ryea keliru, malah buntu!
Hydil masih lagi menunggu di luar. Dia menggigil menahan kesejukan. Sesekali dia melaung memanggil nama Ryea. Jika dilihat, kereta milik Ryea berada di halaman rumah. Begitu juga dengan lampu rumah yang terpasang. Hydil yakin Ryea cuba melarikan diri darinya. Tapi.. Mengapa Ryea mahu melarikan diri? Adakah Ryea sudah menganggap dia melupakan janjinya?
“Awak.. Awak baliklah.. Awak nak apa lagi ni? Saya tak nak jumpa awak lagi..” Akhirnya Ryea membuka pintu rumahnya. Hydil menggeleng.
“Saya takkan balik.. Selagi awak tak dengar penjelasan saya..” Tegas Hydil berkata. Ryea membuka pagar rumahnya. Hydil menapak ke dalam kawasan rumah Ryea itu. Tetapi Ryea berada di dalam rumah. Mereka terpisah di balik pintu gril.
“Awak ni degillah! Saya dah kata, saya tak nak dengar penjelasan awak tu.. Saya cuma nak awak bahagiakan isteri awak. Cukup! Tu pun dah memadai..” Kata Ryea lagi. Hydil memandang Ryea dengan riak yang serius.
“Saya nak tunaikan janji saya.. Saya nak jadikan awak isteri saya.. Tolong Ryea.. Tolong jangan buatkan saya serba salah macam ni.. Ni, duit ni.. Awak ingat lagikan?” Hydil menunjukkan lipatan wang RM50 yang berbentuk hati itu kepada Ryea. Ryea menggeleng. Dia membuka jam yang berada di tangannya itu, sekali lagi pantas jam itu diserahkan kepada Hydil.
“Saya dah tak ada perasaan lagi pada awak Hydil. Saya serahkan semula gari awak ni. Dan saya harap awak lupakan aje janji awak. Saya rasa kita memang tak ditakdirkan bersama. Bukan jodoh kita..” Lancar Ryea menuturkan. Hydil menyeluk poket seluarnya. Dia mengeluarkan sebentuk cincin.
“Ryea.. Saya tak peduli apa yang awak nak kata. Tapi saya datang sini tak lain dan tak bukan cuma untuk tunaikan janji saya dan juga disebabkan rasa cinta saya pada awak. Jadi.. Sudi tak awak jadi pasangan yang halal buat saya?” Hydil mengungkapkan kata-kata itu dengan lembut. Seperti biasa.
Ryea menggeleng. Baginya, semua itu sudah terlambat. Kalaulah Hydil melamarnya sebelum dia mengetahui lelaki itu belum berpunya, pasti dia dapat menerima kenyataan. Tetapi sekarang ini dia tidak sukar untuk membuat keputusan. Ya? Atau tidak?
“Beri saya masa.. Saya tak suka buat keputusan dengan terburu-buru.” Ryea mendengus, lantas menutup pintu rumahnya. Membiarkan Hydil berseorangan di luar. Ryea meraup wajahnya. Dia menahan sebak. Disebabkan terlalu sedih, dia terduduk. Suara tangisannya sedaya upaya ditahan. Dia tidak mahu Hydil mendengar tangisannya.
Hannie mendekati Ryea, cuba menenangkan. “Ryea, kalau kau dah bersedia.. Apa kata kau terima aje.. Mana tahu kau boleh dapat kebahagiaan yang kau idamkan selama ni? Bukan ke kau nak jadi isterinya yang sah? Kan dah lama kau tunggu semua ni..” Hannie memujuk.
“Tak boleh Hannie. Aku tak sanggup. Fikirkan tentang isteri dia.. Isteri dia mesti sedih..” Ryea menggeleng-geleng. Hannie mengelus rambut sahabatnya itu perlahan.
“Tapi kau cakap isteri dia yang minta kau terima suami dia, kan? Jadi apa yang kau tunggu lagi? Ryea, ini aje peluang yang kau ada.. Kejar cinta kau atau kau sendiri yang akan rasa kecewa nanti..” Hannie memberi nasihat. Ryea termenung panjang. Wajah Hydil semerta menyinggah benaknya.
Senyuman lelaki itu, lesung pipitnya.. Bahkan segala-gala yang ada pada lelaki itu menarik perhatiannya. Dia tidak dapat menafikan hakikat dia begitu mencintai lelaki itu. Dia tidak mahu kehilangan lelaki itu. Ya! Dia tidak mahu menyesal kemudian hari!
Ryea nekad. Dia bangun semula dan membuka pintu rumahnya. Dilihatnya Hydil masih lagi setia menunggu dirinya di luar rumah. Ryea membuka pintu gril. Perlahan-lahan dia mengangguk. Dia tidak tahu mengapa dia berbuat begitu. Dia berharap Hydil akan memahami gerak lakunya itu.
Hydil menunjukkan cincin itu pada Ryea, dan mengangguk-angguk. Meminta kepastian dari Ryea. Dan buat kesekian kalinya Ryea mengangguk, bersetuju. Tanpa berlengah Hydil terus melakukan sujud syukur di situ juga. Langkah seterusnya, dia harus meminta kebenaran dari isteri pertamanya. Semoga semuanya berjalan dengan lancar.
****
“AKU terima nikahnya Ryea Farhanah binti Hazfirul dengan mas kahwin dua puluh dua ringgit setengah tunai.” Dengan sekali lafaz, Ryea sudah sah menjadi milik lelaki bernama Hydil Rafael. Setelah itu masing-masing membaca doa. Faten tidak lepas mengucapkan rasa syukurnya ke hadrat Illahi. Dia tidak mempunyai apa-apa masalah berkaitan perkahwinan ini.
Bahkan dengan rela hati, dia membenarkan suaminya untuk berkahwin lagi. Tetapi hatinya masih juga terasa pedih. Pedih apabila mengenangkan dia kini berkongsi kasih sayang bersama-sama dengan wanita lain. Pedih apabila mengenangkan suaminya kini menjadi hak milik wanita yang lain juga. Tetapi apa yang lagi yang diharapkannya? Hanya itu.. Hanya itu sahaja.
“Faten, jom ambil gambar sekali..” Ryea mengajak madunya itu untuk bergambar bersama. Faten menurut sahaja.
Setelah semuanya telah selesai, Hydil menggengam erat jemari kedua-dua isterinya itu. “Abang janji akan cuba berlaku adil selagi abang masih hidup. InsyaALLAH.” Ucap Hydil. Ryea mencebik.
“Sekali lagi abang berjanji. Jangan berjanji kalau susah untuk ditepati..” Ryea mengkritik. Hydil tertawa. Spontan dia mencium pipi isterinya itu di hadapan umum.
“Abang janji dengan Ryea, dan sekarang abang tepatikan? Abang tak mungkir janjikan? Faten, abang ada mungkir janji ke?” Hydil memeluk pula isterinya yang pertama itu. Faten tergelak lantas menggeleng.
“Abang takde mungkir janji. Tapi abang ada lupa janji abang! Abang janji nak bawa Faten pergi Pulau Tioman, kan?” Ryea mengenyit matanya pada Faten. Faten mengangguk, mengiakan.
“Yang tu abang ingat.. Cuma abang takde masa lagi sekarang ni. Eh, housemanship training abang belum habis lagi eh.. Jadi, faham-fahamlah..” Hydil mengangkat kedua-dua keningnya serentak. Ryea mencubit lengan suaminya itu dengan kuat.
“Mengada-ngada abang ni. Dahlah, jom balik..” Pinta Ryea. Hydil memandang isterinya itu dengan pandangan mata yang nakal. Seakan tersirat sesuatu melalui pandangan matanya itu.
“Takkan dah tak sabar? Awal lagi ni sayang..” Hydil mencubit pipi isterinya itu. Wajah Ryea semerta menjadi merah apabila diusik sebegitu. Sementara Faten pula memalingkan wajahnya ke arah bertentangan. Dia pula jadi segan apabila mendengar usikan Hydil itu.
“Apa abang ni.. Tak malu betul.” Ryea memarahi suaminya. Hydil tergelak besar.
“Nak malu apa.. Kan hubungan kita dah halal..” Hydil mengenyit sebelah matanya pada Ryea. Ryea segera melangkah ke arah kereta. Hydil cuba mengejar tetapi Faten sempat menahan.
“Abang, malam ni Faten balik rumah ibu ya? Biarlah abang dengan Ryea luangkan masa bersama malam ni.” Ujar Faten, lembut. Hydil mengangguk. Wajah isterinya itu dipandang lama.
“Faten.. Boleh abang tahu.. Kenapa senang aje Faten berikan abang kebenaran berkahwin lagi? Faten tak marah? Faten tak rasa cemburu?” Hydil cuma menafsir isi hati isterinya itu. Faten menggeleng, seraya tersenyum manis.
“Kalau untuk kebahagiaan abang, Faten tak kisah..” Dan kata-kata itu membuatkan Hydil dipagut rasa sayu. Begitu besar sekali pergorbanan isterinya itu padanya. Hydil memeluk Faten dengan erat, buat seketika dia mencium dahi isterinya itu. Lama.
“Terima kasih untuk semua ni Faten. Abang sayangkan Faten..” Ucap Hydil, ikhlas. Faten hanya mengangguk.
****
Deras hujan yang turun
aku menangis memeluk bayangmu
derai airmataku membasuh hati
terluka kau tinggalkan aku
cinta putih yang kan kau beri
namun tak sempat kau ungkapkan
mengisi kehampaan hatiku disini
sebening embun pagi
luruh menetas di dedaunan
ku tangisi kepergianmu cinta
JAM sudah menunjukkan ke angka dua pagi. Ryea memandang jendela. Dia memandang suaminya yang sedang tidur itu. Tidak sangka, dia kini sudah menjadi isteri Hydil yang sah! Dan dia tidak sangka kini dia berada bersama-sama dengan Hydil, cinta hatinya sejak di sekolah dahulu.
Ryea memeluk suaminya itu dengan erat. Betapa dia menyayangi Hydil, hanya ALLAH SWT sahaja yang tahu. Dan saat berada disisi Hydil, dia berasakan dunianya berhenti berputar. Tetapi Ryea hairan, mengapa Faten memintanya untuk menerima Hydil sebagai suami? Ryea tertanya-tanya. Pasti ada sesuatu yang tersembunyi.
Ryea mengalihkan lengan suaminya itu dengan perlahan-lahan, dia bergerak ke sebuah almari. Ada sesuatu yang membuatkan dirinya tertarik untuk melihat isi di dalam almari itu. Tiba-tiba sahaja telefon bimbit suaminya itu berdering. Ryea mengurut dadanya. Dia berpura-pura menuju ke tandas.
Hydil mengangkat panggilan tersebut dan dengan tergesa-gesa dia menukar pakaiannya. Ryea hanya diam tidak bereaksi. “Abang, nak pergi mana?” Soal Ryea pada suaminya itu. Hydil tersenyum.
“Abang ada on-call ni. Ryea tak apa ke duduk rumah seorang? Ke nak abang telefon Faten datang teman Ryea?” Hydil memberikan isterinya itu pilihan. Ryea segera menggeleng. Dia tidak kisah jika berseorangan sekalipun. Tidak menjadi masalahnya.
“Lama ke abang pergi?” Soal Ryea, naif.
“Lama agaknya.. Ryea jangan tunggu abang.” Hydil sempat berpesan. Ryea mengangguk-angguk. Dan setelah bersiap ala kadar sahaja Hydil segera melangkah keluar. Sebelum itu dia sempat menghadiahkan ciuman pada dahi isterinya itu, lama.
****
SETELAH kelibat Hydil tidak kelihatan, Ryea mendekati semula almari itu. Perlahan-lahan dia membuka almari itu. Terdapat sebuah kotak di dalam almari itu. Dia mengeluarkan kotak itu dan membuka kotak tersebut.
Terdapat wang RM50 yang dilipat menjadi bentuk hati di dalam kotak itu. Ryea amat mengenali lipatan wang tersebut. Dia tersenyum. Sesuatu menarik perhatiannya! Ada sebuah catatan seperti sebuah notepad kecil. Ryea membuka satu persatu catatan tersebut.
Hari ini aku menerima satu berita buruk. Mungkin ini merupakan satu ujian dari ALLAH SWT untuk aku. Aku tahu DIA sedang mengujiku. Aku tidak mahu menghebahkan berita ini kepada sesiapa. Tidak kepada orang tuaku, dan tidak kepada isteriku. Biarlah aku pergi di dalam keadaan yang tenang nanti.
Tapi.. Sebelum aku pergi, aku mohon ya ALLAH.. Aku mohon supaya Engkau memberikan aku peluang untuk menunaikan janjiku itu. Janji yang pernah aku lafazkan pada Ryea Farhanah. Aku tidak mahu pergi dari dunia ini dengan janji yang tidak sempat aku tunaikan. Berilah aku peluang itu ya ALLAH..
Seandainya engkau memberikan aku peluang itu, aku pasti aku boleh pergi dari dunia ini dengan tenang. Aku pasti aku akan membuatkan Ryea bahagia walaupun aku telah tiada lagi di dunia ini kelak.
Semua terserah padaMu aku begini adanya. Dan jika orang yang mencintai aku tahu mengenai hal ini aku tahu pasti sulit bagi mereka. Aku bukan yang sempurna dari apa pun. Aku tak nak di kasihani. Walaupun aku patut menerimanya. Biarkanlah aku dengan semua ini. Kerana aku tahu aku tak layak untuk hidup lama di atas muka bumiMu ya ALLAH..
Ryea berhenti membaca. Airmatanya tanpa sedar mengalir laju. Dia mengeluarkan pula beberapa surat yang telah dilipat di dalam kotak itu. Sekali lagi dia terasa sesak! Hydil? Menghidap kanser darah? Mengapa selama ini dia tidak mengetahui hal ini? Mengapa?
Airmatanya laju mengalir tanpa henti. Patutlah Hydil bersungguh-sungguh. Adakah Faten tahu mengenai hal ini? Dan oleh sebab itu Faten mahu dia menerima Hydil sebagai suami? Begitu? Ya ALLAH… Ryea terasa bersalah. Terasa bersalah kerana selama ini dia menuding segala kesalahan kepada Hydil sedangkan Hydil berusaha bermati-matian untuk menunaikan janjinya.
Ketukan pintu yang bertalu-talu membuatkan Ryea segera bergegas ke tingkat bawah. Dia yang masih lagi sedang dilanda kesedihan itu melangkah pantas. Segera membuka pintu. Sebaik sahaja dia membuka pintu, dia mendapati Faten dalam keadaan basah kuyup memandangnya tanpa bicara. Hanya mata yang berbicara.
“A.. Abang… Abang accident!” Kata-kata Faten itu membuatkan Ryea mengigil. Entah bagaimana, dia pengsan!
****
RYEA membuka kelopak matanya dengan perlahan-lahan. Dia mendapati dia berada di atas katil. Dia memandang sekeliling. Dia mahu bangun dari katil tersebut tetapi dia segera ditahan oleh Faten. Ryea masih lagi berada di dalam keadaan yang lemah. Dua berita mengejutkan diterimanya serentak! Pada malam yang sama!
“Faten.. Saya kat mana sekarang ni?” Dengan perlahan Ryea bertanya. Faten menggengam erat jemari Ryea. Dia juga sedang dilanda kesedihan. Selama ini dia memendam rasa. Selama ini dia memendam rahsia yang begitu besar sekali.
“Ryea ada kat wad sekarang ni.. Ryea pengsan tadi,” lembut Faten memberitahu. Ryea memandang siling.
“Abang mana?” Hanya soalan itu yang bermain di fikirannya sejak dari tadi. Faten diam tidak berkata-kata. Dia tidak tahu hendak memberi jawapan yang sesuai kepada Ryea ketika ini. Keadaan Ryea juga tidak stabil ketika ini.
Ryea memandang Faten, memintanya menjelaskan hal yang sebenar. “Abang.. Abang sekarang ada dekat ICU.. Abang kehilangan banyak darah. Ditambah lagi dengan kanser darah yang dihidap oleh abang..” Faten akhirnya menangis. Dia sudah tidak mampu menahan perasaannya.
Ryea cuba mengawal rasa sedihnya. Meski begitu, airmatanya tetap mengalir tanpa henti. Ibarat empangan air yang sudah pecah! Ryea memandang Faten, tajam. ” Selama ni Faten tahu mengenai abangkan? Kenapa Faten tak pernah cerita pada saya? Kenapa Faten tak pernah cerita yang abang ada penyakit tu?”
Faten menggeleng. “Kalau saya beritahu Ryea pun, Ryea boleh buat apa? Penyakit abang tu bawa maut, Ryea! Jadi cara saya untuk bantu abang cuma satu.. Dengan bantu dia tunaikan janji dia pada awak dulu.. Salah ke cara saya ni?” Faten menekup wajahnya. Wajahnya kelihatan sembap.
Ryea memegang tangan madunya itu. Dia memandang wajah Faten seraya menggeleng. “Tak Faten, tak salah.. Tapi sekurang-kurangnya kita berdua boleh sama-sama usahakan cari penawar untuk penyakit abang..” Ryea mengeluh. Faten terdiam. Dia langsung tidak terfikirkan hal itu. Lagi pula, apa yang dia ketahui kanser darah sememangnya membawa maut dan amat payah sekali untuk ditemui penawarnya. Oleh sebab itu dia menemui jalan buntu.
“Tak apalah, kita sama-sama berdoa supaya abang tak apa-apa..” Ryea menahan sebak. Bibir Faten bergerak-gerak, seakan-akan mahu memberitahu sesuatu. Tetapi niatnya itu dikuncikan. Ryea dapat menangkap gerak bibir Faten itu, dengan segera dia bertanya.
Tetapi Faten bijak mengelak. Dia tidak mahu menceritakan segala-galanya. Biarlah perkara itu menjadi rahsia bagi dirinya. Belum sempat Ryea mendesak madunya itu membuka mulut sekali lagi, kelibat Puan Eimma kelihatan menghampiri mereka.
Langkah Puan Eimma terhuyung-hayang. Seakan sudah tiada tenaga lagi. Faten segera bangun dari kerusi dan bergegas mendekati ibu mertuanya itu. Puan Eimma menggeleng-geleng kepalanya. Dia memegang kepalanya dan mengucap panjang. Dengan tiba-tiba jantung Ryea berdegup kencang. Dia dapat merasakan sesuatu. Adakah….
“Ibu, kenapa ni ibu?” Fatin cuba bertanya.
Puan Eimma tidak dapat berkata-kata. Lidahnya kelu. Pahit sungguh kenyataan ini. Sukar sungguh untuk dia menerima kenyataan ini. Mengapa? Mengapa tiba-tiba? Mengapa semuanya berlaku sekelip mata? Puan Eimma akhirnya mencurahkan airmatanya yang sedari tadi bertakung sejak dia menunggu di luar wad ICU lagi.
Faten membantu ibu mertuanya menapak ke katil. Ryea juga sudah mula rasa lebih kuat. Mereka berdua memeluk Puan Eimma. Puan Eimma menarik nafas sedalam-dalamnya. “Faten, Ryea… Ibu nak kamu berdua terima semua ni..”
Faten dan Ryea berpandangan sesama sendiri. Mereka mengetap bibir. Walau pahit kenyataan ini, mereka harus menghadapinya dengan tenang. Mereka mengangguk-angguk. Bibir Puan Eimma kelu.
“Hydil… Hydil baru tinggalkan kita lima belas minit yang lepas…” Puan Eimma tidak dapat menahan kesedihannya. Airmatanya jatuh mencurah-curah bagaikan hujan yang turun. Sementara di luar pula, hujan turun dengan lebatnya. Seakan turut sama menangisi kesedihan yang dialami oleh seorang ibu.
Sementelah, Ryea dan Faten diam tidak bereaksi. Mereka kehilangan kata-kata. Mereka hanya diam. Lama mereka begitu, sehinggalah Puan Eimma memberitahu tentang hal itu sekali lagi. Kali ini, airmata Ryea turun tanpa henti. Begitu juga dengan Faten. Dalam sekelip mata, mereka kehilangan suami yang dicintai.
Dalam masa sehari sahaja, dia sudah menjadi balu! Ryea menangis semahunya. Jika diikutkan, mahu sahaja dia menamatkan riwayat hidupnya sekarang juga! Jika diikutkan, mahu sahaja dia mengikuti Hydil! Enam tahun dia menunggu lelaki itu, dan ketika mereka sudah sah menjadi suami isteri, lelaki itu pula pergi meninggalkannya? Di saat mereka mahu menyemai semula benih cinta mereka? Di saat mereka hendak melakar bahagia?
Ryea terduduk. Terngiang-ngiang senyuman suaminya dan juga kata-kata akhir sebelum suaminya itu keluar dari rumah.
“Jangan tunggu abang…” Kata-kata itulah yang membuatkan Ryea dilanda kesedihan. Dan aneh sekali apabila Hydil mencium dahinya lama. Seakan tidak mahu melepaskan lagi. Seakan tahu dia akan pergi meninggalkan dunia yang fana ini. Dunia yang sementara.
Faten pula sudah tidak mampu mengeluarkan airmatanya. Matanya juga kelihatan bengkak kerana terlalu banyak mengeluarkan airmata. Dia pantas mendekati Ryea dan mengeluarkan sesuatu dari beg tangannya. Sekeping sampul surat. Adakah surat itu dari Hydil? Ryea tertanya-tanya.
“Ryea.. Saya harap kita dapat terima semua ni dengan tabah. ALLAH lebih sayangkan abang.. Kita berdoa supaya abang ditempatkan di dalam kalangan orang yang beriman..” Di dalam sendu, Faten mengucapkan. Ryea memandang wajah Faten itu dan sampul surat yang berada di dalam genggaman tangan Faten itu beralih tangan.
“Ini surat dari abang Hydil.. Abang ada pesan pada saya selepas Ryea dan abang sah jadi suami isteri semalam. Saya dah beritahu abang yang saya tahu segala-galanya tentang penyakit abang.. Dan abang minta saya rahsiakan.. Jadi, petang semalam.. Dia ada tulis surat ni.. Dia minta saya serahkan pada Ryea andai kata dia dah tak ada lagi nanti…” Faten melanjutkan kata-katanya.
****
Imbas kembali…
FATEN terdiam. Wajah suaminya itu dipandang sekali lalu. Dia tahu suaminya itu ingin mendengar penjelasan darinya. Hydil memegang tangan Faten dan sekali lagi memandang isterinya dengan renungan yang tajam.
“Abang tahu mesti Faten tahu sesuatu, kan?” Hydil cuba meneka. Faten menunduk ke bawah. Tidak berani bertentang mata dengan suaminya itu. Kenyataannya, dia memang mengetahui sesuatu.
Faten menggeleng. “Tak ada.. Tahu apa? Faten tak tahu apa-apa..” Faten berbohong. Hydil merapati Faten dan memegang kedua-dua pipi isterinya itu. Dia meminta isterinya itu memandang terus ke matanya. Faten cuba mengelak, tetapi dia gagal berbuat begitu. Tenaga lelaki Hydil lebih kuat darinya.
“Tengok abang.. Kalau Faten tahu mengenai abang.. Faten beritahu.. Faten nak tipu abang? Faten tak kesiankan abang?” Hydil mendesak. Faten menelan liur.Dia memegang keduua-dua tangan Hydil yang masih lagi berada di pipinya itu.
“Kenapa abang tak beritahu saya tentang ni? Kenapa abang sanggup rahsiakan semua ni?” Airmata Faten mengalir perlahan. Titisan itu mengalir ibarat mutiara. Hydil mengeluh. Airmata isterinya itu diseka lembut.
“Abang tak nak bebankan sesiapa. Abang tak nak susahkan hati sesiapa.. Ni semua salah abang.. Abang tak patut tinggalkan nota tu dalam almari..” Hydil mengeluh lagi. Faten menggengam jemari suaminya dengan erat.
“Abang tak salah.. Abang sepatutnya tahu yang ramai sayangkan abang. Abang sepatutnya tahu yang abang bukan keseorangan. Kami semua ada untuk abang. Macam mana kalau Ryea tahu tentang hal ni?” Faten menyuarakan kegelisahannya. Hydil menggeleng-geleng.
“Ryea takkan tahu tentang hal ni.. Faten kena pastikan Ryea tak tahu tentang semua ni.. Boleh? Janji dengan abang..” Hydil menghulurkan jari kelingkingnya untuk ditaut bersama dengan jari milik Faten. Faten terdiam.
Mampukah dia merahsiakan hal ini dari pengetahuan madunya itu? Mampukah dia terus mendiamkan diri tentang penyakit yang dihidapi oleh Hydil itu? Dan mampukah dia terus berpura-pura? Faten buntu.
“Faten? Janji ya?” Hydil bersuara lagi. Faten tersentak.
“Abang nak rahsiakan hal ni dari pengetahuan Ryea sampai bila abang?” Keluhan yang bertali arus dilepaskan. Hydil tersenyum manis.
“Sampai abang pergi menghadap ALLAH SWT..” Kata-kata Hydil itu membuatku jantung Faten tersentap! Sungguh, meskipun kematian itu merupakan satu kepastian bagi umat manusia tetapi Faten tidak mahu suaminya itu mengungkapkan tentang kematian. Dia tidak bersedia. Dia tidak bersedia kehilangan lelaki bernama Hydil Rafael itu!
Baginya, Hydil seorang lelaki yang baik.. Cuma.. Alangkah indahnya andai… Faten lantas membisukan dirinya. Diam lebih baik dari berbicara ketika ini. “Kenapa abang cakap macam tu? Abang tahu abang ada harapan sembuhkan?”
Hydil menggeleng. “Abang ada kurang dua bulan lagi.. Abang dapat tahu tentang penyakit abang ni pun baru bulan lepas. Dan sebab tu juga abang tekad nak cari Ryea. Abang tak nak abang mati dalam keadaan yang mengaibkan disebabkan abang tak tunaikan janji abang pada Ryea dulu..”
“Abang tak sangka Faten dapat tahu juga tentang hal ni, walaupun abang dah berusaha sembunyikan rahsia ni dari sesiapa. Patutlah senang aje Faten beri kebenaran pada abang untuk berkahwin lagi, kan? Kalau ikutkan, memang Faten tak izinkan abang berkahwin lagi.. Betul tak?” Hydil tersenyum manis. Faten mengangkat wajah. Dia memandang wajah suaminya itu, lelaki itu cuba mengawal kesedihannya. Lelaki itu cuba mengawal airmatanya dari tumpah.
Faten terus memeluk suaminya itu. Dia tahu pasti begitu perit penderitaan yang dialami oleh suaminya itu untuk merahsiakan hal ini. Dan dia tahu, pasti payah buat Hydil untuk menanggung kesakitannya itu seorang diri.
“Apa saja demi kebahagiaan abang.. Saya sanggup buat apa saja..” Ucap Faten, diiringi sendu. Hydil tersenyum, dia sudah tidak dapat menampung airmatanya yang sudah kian bertakung sedari tadi itu.
Airmata lelakinya itu akhirnya tumpah juga. Membasahi pipi. Hydil mencium dahi isterinya. “Terima kasih Faten.. Terima kasih sebab memahami abang.. Abang sayangkan Faten..”
“Abang nak Faten serahkan surat ni kepada Ryea bila abang dah tak ada lagi.. Abang terfikir untuk minta bantuan kawan abang.. Tapi memandangkan Faten dah tahu, abang minta tolong Faten ya? Tolong serahkan surat ni pada Ryea bila abang dah tak ada lagi..” Airmata Hydil menitis lagi.
****
Langit begitu gelap, hujan juga tak kunjung reda
Ku harus menyaksikan cintaku terenggut tak terselamatkan
Ingin ku ulang hari, ingin ku perbaiki
Kau salah,kau kubutuhkan
Beraninya kau pergi dan tak kembali
Dimana letak surga itu
Biar kugantikan tempatmu denganku
Adakah tanda surga itu
Biar kutemukan untuk bersamamu
Kubiarkan senangku menari di udara
Biar semua tahu kematian tak mengakhiri
cinta..
Apalah artinya hidup tanpa kekasihku
Percuma bila aku disini sendiri
Kekasihku, bersamamu
RYEA hanya membatukan dirinya. Cerita yang disampaikan oleh Faten sebentar tadi benar-benar mengguris jiwanya. Ternyata selama ini Hydil cuba menjejaki dirinya. Bahkan Hydil tidak pernah melupakannya walau sedetik pun. Selama ini dia menyangka lelaki itu sudah melupakannya. Selama ini dia menyangka lelaki itu melupakan janjinya. Tetapi.. Lelaki itu sanggup melakukan apa sahaja demi mematuhi janjinya. Ryea terasa sebak.
“Ryea.. Abang memang sangat sayangkan Ryea. Disebabkan dia tak sanggup nak mungkiri janji dia pada Ryea, dia belum pernah sentuh saya sampai sekarang..” Ryea mengangkat wajahnya. Dia seakan tidak mempercayai kata-kata Faten itu. Adakah Faten sekadar mereka cerita?
Faten mengangguk. “Betul.. Abang Hydil tak pernah sentuh saya.. Dia kahwin dengan saya sebab dia nak jaga saya. Walaupun sebenarnya dia cuba belajar mencintai saya, tetapi dia gagal. Dia gagal membuang bayangan Ryea dalam hati dia.. Abang Hydil cuma anggap saya sebagai adiknya selama ni.. Tak lebih dari tu..”
Ryea menangis lagi. Sehingga sebegitu sekali kesetiaan Hydil padanya. Dia tidak menyangka Hydil setia terhadapnya sehingga tidak melaksanakan tanggungjawabnya sebagai suami terhadap Faten. Ryea berasakan dunianya sudah haru-biru. Mengapa?
Mengapa baru sekarang ini dia mengetahui segalanya? Mengapa baru sekarang dia mengetahui kesetiaan suaminya itu? Mengapa baru sekarang? Ketika suaminya itu sudah tiada lagi di dunia ini. Ketika rohnya sudah terpisah dari jasad. Segala penyesalan sudah tidak bermakna lagi. Yang tinggal kini hanyalah jasad suaminya sahaja, yang tidak lama lagi akan dimandikan, dikapankan, disolatkan dan dikebumikan.
Hujan masih lagi turun membasahi bumi. Hujan masih lagi lebat di luar sana. Sementelah Ryea sudah tidak bermaya. Begitu juga dengan Faten, tetapi Faten lebih kuat. Dia dapat menerima kenyataan ini kerana dia tahu setiap yang bernyawa di atas muka bumi ini adalah milik yang Esa. Milik ALLAH SWT. Lantas, apa hak yang ada pada manusia untuk mempertikaikan tentang qada dan qadar yang telah ditentukan olehNya?
Ryea mengeluarkan telefon bimbitnya, gambar milik suaminya itu ditatap lama. Senyuman yang manis seolah-olah dihadiahkan hanya buatnya seorang. Benar. Ternyata cinta yang ada di dalam hati Hydil itu hanya buatnya seorang. Tidak ada buat yang lain.
Derai airmatanya membasuh hati dan dia begitu terluka saat Hydil meninggalkannya. Cinta putih yang diberikan oleh suaminya itu tidak sempat diungkapkan. Mengisi kehampaan hatinya sendiri. Dia.. Menangisi kepergian Hydil, dengan rela.
Ryea membuka sampul surat tersebut. Dia menggigil ketika mengeluarkan isi surat tersebut. Sekeping gambar suaminya yang sedang tersenyum turut terselit di dalam sampul surat tersebut.
Assalamualaikum buat isteri abang yang disayangi.. Abang tak ada banyak masa untuk tuliskan surat yang puitis dan romantik untuk isteri abang. Abang cuma mampu tuliskan apa yang abang rasa dari hati. Maafkan abang kalau surat ni nanti buatkan Ryea benci abang.. ;)
Selama enam tahun abang cuba jadi lelaki setia, hanya untuk wanita kesayangan abang. Selama enam tahun juga abang cuba mengenali diri abang sendiri. Abang tanya diri abang.. Siapa yang abang sayang? Siapa yang abang cinta.. Dan selama enam tahun itu, hanya ada satu nama yang bermain di dalam hati abang.. Hanya ada satu nama dalam hati abang.. Ryea Farhanah..
Enam tahun lalu, Ryea masih ingatkan? Ryea masih ingat abang pernah beri Ryea jam. Abang kata abang nak gari tangan Ryea dan abang nak gari hati Ryea. Memang waktu tu abang terlalu takut. Abang takut abang akan kehilangan Ryea. Abang takut Ryea berpaling tadah. Abang takut Ryea lupakan. Enam tahun Ryea, enam tahun.. Banyak benda boleh berlaku dalam enam tahun tu, dan tak mustahil Ryea boleh berkahwin dengan orang lain disebabkan janji kita hanya pada mulut, tak ada hitam putih. Dan sebab tu abang takut. Tapi abang percaya.. Abang percaya pada Ryea. Abang percaya Ryea akan setia pada abang. Abang percaya Ryea tak semudahnya lupakan abang. Agak-agaknya Ryea macam tu juga ke? Ryea percaya tak pada abang? Ryea rasa abang masih ingat janji abang pada Ryea tak?
Airmata Ryea menitis lagi. Begitu besar sekali kepercayaan Hydil padanya. Lelaki itu begitu mempercayainya. Sedangkan dia? Dia menuduh lelaki itu mendustai janji mereka saat terpandang lelaki itu bersama dengan Faten dahulu. Rasa sendu itu masih berbalas, sehingga kini. Menghantui jiwa sehingga sekarang. Ryea kembali membaca surat tersebut. Dia tidak mampu hendak meneruskan pembacaannya. Emosinya goyah.
Ryea, abang nak Ryea ingat sampai bila-bila yang abang cintakan Ryea. Abang sayangkan Ryea. Dalam hati abang, abang tak pernah lupakan Ryea. Dan abang berkahwin dengan Faten bukan sebab abang lupa pada Ryea. Abang mahu tolong Faten. Tapi percayalah, abang cuma anggap Faten sebagai adik abang. Tak lebih dari tu.. Alhamdullilah, Faten faham. Dan dia tak pernah mendesak abang untuk terima dia seadanya.
Ryea, seandainya abang dah sakitkan hati Ryea. Abang dah lukakan hati Ryea selama abang bernafas di atas bumi ALLAH ini, abang harap sangat Ryea boleh maafkan abang. Abang harap sangat yang Ryea akan ingat pengorbanan abang yang sanggup tunggu Ryea terima semula abang dalam hidup Ryea sampai basah lencun baju abang. ;) Ryea ingatkan? Abang tahu, waktu tu Ryea kecewa dengan abang. Tapi abang lagi kecewa bila tahu Ryea kecewa.. Kebahagiaan abang, kebahagiaan Ryea. Dan kekecewaan Ryea , kekecewaan abang. Ryea fahamkan maksud abang?
Dan sekarang ni, janji yang kita lafazkan dah sempurna. Bersaksikan bumi dan tujuh petala langit tinggi.. Abang pasti akan merasai cinta yang suci dari Ryea. Ryea kena tahu yang Ryealah rohani abang yang mengalir di dalam jiwa. Dan Ryea juga Nur yang berkilauan bercahaya. Setiap nafas yang abang hela, hanya nama Ryea abang sebut. Cuma Ryea yang satu. Ujian yang terbentang buat abang ni, abang sanggup hadapi. Yang penting abang dan Ryea disatukan.
Setiap hari abang cari, dan setiap hari abang tanya.. Cuma nama Ryea yang abang sebut. Bila abang tidur, cuma ada Ryea. Bila abang bangun, cuma ada Ryea. Itu yang abang harapkan selama ini. Itu kasih yang abang harapkan selama ini. Kini, Ryea abang dah miliki. Nama, rupa dan cara.. Bersatu jasad, dan nyawa, kita serupa. ;) Kalau Ryea dengar lagu Samudera-Silaturahim, Ryea akan tahu perasaan sayang abang pada Ryea. Dan kalau Ryea nak tahu betapa tingginya nilai cinta abang pada Ryea, abang sarankan Ryea hayati lirik Sampai Menutup Mata.. Ryea tahu lagu tu kan? Kita selalu nyanyi sama-sama dulu.. Supaya lagu tu jadi peneman Ryea nanti.
Ryea, kalau abang tahu bila malaikat Izrail akan ambil nyawa abang.. Abang pasti akan mohon pada ALLAH supaya dipanjangkan lagi umur abang ni. Abang mohon supaya abang mendapat satu lagi peluang untuk bahagiakan Ryea. Sekurang-kurangnya untuk beberapa tahun lagi.. Sampailah kita ada cahaya mata. Ryea tak mahu ke semua tu? Itulah yang abang idamkan sejak dulu.
Hanya itu saja yang abang nak katakan pada Ryea. Semoga Ryea tak lupakan abang, walaupun kematian memisahkan kita. Abang nak Ryea tahu yang abang cintakan Ryea sangat-sangat. Kasih Ryea tak akan dapat abang cari ganti. Semoga kita bertemu di sana nanti.. InsyaALLAH..
Salam terakhir dari suamimu,
Hydil Rafael.
Surat yang dibaca olehnya itu akhirnya terlepas dari tangan. Ryea meraung seolah-olah telah hilang segala-galanya. Melihat keadaan menantunya itu, Puan Eimma segera mendekati Ryea. Dia tahu, kesedihan yang dialami Ryea itu amat perit. Tetapi sebagai ibu, dia juga terasa kesedihan itu.
“Ryea.. Ryea kena relakan walaupun payah rela. Kita bersabar ya..” Puan Eimma memeluk menantunya itu. Ryea menangis tersedu-sedan.
Kisah cintanya berakhir begitu sahaja. Kasih yang diharapkannya selama ini akhirnya berakhir seperti ini. Benarlah apa yang Hydil katakan dahulu. Tiada sesiapa dapat memisahkan mereka berdua.. Hanya ALLAH SWT sahaja yang mampu memisahkan mereka. Kematian satu kepastian. Cinta Hydil buatnya dibawa hingga ke liang lahad.
Allah berfirman lagi: “Di bumi itu kamu hidup dan situ juga kamu mati, dan daripadanya pula kamu akan dikeluarkan (dibangkitkan hidup semula pada hari kiamat)”.~ Al-A’raaf 7:25
TAMAT
Cinta itu tidak selalu berakhir dengan bahagia. Kadangkala kita menerima derita disaat mulai merasai bahagia. Namun itulah realiti di dalam percintaan. Tidak selalunya indah. J Terima kasih sudi membaca hingga ke hujung cerita. Sebarang kemusykilan mengenai cerpen ini, boleh ditanya melalui akaun Twitter saya. : @LeAlterEgo ~Wazrul Shah

 
-Jack- di ambil dari :

Tidak ada komentar:

Posting Komentar