Selasa, 08 Mei 2012

Cerpen : Gadis Bertudung Merah

Oleh : Hany Nafisya
“HEI!” Terasa ada tangan menepuk bahu kiriku. Dingin. Lekas-lekas aku menoleh ke kiri. Seorang lelaki sedang terkekeh-kekeh mentertawakanku. Kurang asam jawa sungguh! Aku mengetap bibir kegeraman. Tangannya kutepis.
“Apa yang kau menungkan di dalam gelap tu? Sedang menunggu ‘seseorang’ ke?” Dia bertanya sambil mengangkat kening.
“Tak adalah. Nak tunggu siapa malam-malam begini? Mengarutlah kau.” Aku menggeleng lalu kembali menghadap ke depan. Kubiarkan dia mengambil tempat di sebelahku.
“Kenapa ni, Taufiq?” Dia menyoal lagi. Dia memang begitu, sering mengambil berat tentangku.
Aku melepaskan keluhan. “Tak ada apa-apalah,” jawabku perlahan.
“Taufiq, aku kenal kau sejak lahir lagi. Kau jangan nak temberanglah. Kalau tak ada apa-apa, kau tak macam nilah. Ini aku tengok sejak kau balik kerja tadi, asyik termenung dan mengeluh saja. Kau ada masalah di ofis, ya?”
“Tak,” balasku pendek.
“Habis tu? Duit?”
Aku menggeleng. Bukan wang yang menjadi puncanya. Setakat ini, alhamdulillah, aku masih belum pernah mempunyai masalah kewangan.
“Kalau duit pun bukan, masalah apa lagi? Cinta?” tekanya.
Aku diam. Tidak mengiakan, tidak juga menafikannya. Cinta? Masalah aku ini boleh dikategorikan sebagai masalah percintaankah? Teman wanita pun tak ada! Tetapi, kalau pra-percintaan itu mungkin juga.
“Taufiq, aku ni abang kau. Kalau kau ada masalah, ceritakan kepada aku. Kalau aku boleh tolong, insya-Allah aku tolong.”
Aku tenung anak matanya mencari keikhlasan di sebalik kata-katanya. Aku bimbang sekiranya dia mentertawakanku apabila kisah hati kubuka nanti.
“Don’t worry, bro. I’m not gonna laugh at you!” katanya seolah dia tahu bahawa aku sedang meragui niatnya.
“Aku… aku….” Sukarnya hendak kuluahkan rasa hati ini.
“Ya, kau? Come on, Taufiq. Spill it out!” Dia mendekatkan wajahnya. Dia kelihatan teruja ingin mengetahui apa yang bakal kututurkan.
“Taqi, aku… aku rasa… aku dah tersuka pada seseoranglah!” luahku jujur.
“Tahniah, Taufiq! Akhirnya, ulat buku ni jatuh cinta juga!” Serentak dengan itu, tangannya menepuk kuat belakangku, membuatkan aku menyeringai kesakitan. Dia memang begitu. Tidak sedar bahawa tindakannya itu mengundang rasa tidak selesa orang lain.
“Jadi, apa masalahnya sekarang? Bawa sajalah dia ke rumah jumpa mak dan ayah. Kemudian, selamat pengantin baru!” Dengan nada ceria Taqiuddin bertanyaku.
Dia, kalau bercakap memang kesemuanya kelihatan semudah ABC. Namun, pada hakikatnya, ia sesukar mendaki Gunung Everest. Tanpa peralatan yang secukupnya, tidak mungkin seorang pendaki akan tiba di puncaknya dengan selamat.
Aku tenung anak matanya selama beberapa saat sebelum mulut kubuka, “Masalahnya Taqi, aku… aku tak kenal pun siapa budak perempuan tu!”
“Ha?” Dia ternganga. Ternyata kata-kataku mengundang tanda tanya di dalam dirinya.
“Maksud aku, aku tak tahu siapa namanya, anak siapa, dah kahwin ke belum, et cetera, et cetera!”
Dia mendengus perlahan. “Kalau tak tahu, siasat! Kau ingat, kalau kau tak kenal ABC, kau boleh membaca? Samalah seperti perempuan. Kalau kau tak berusaha untuk berkenalan, macam mana nak pergi lebih jauh? Kau ingat, dia nak datang kepada kau dan perkenalkan dirinya? Kau yang minat pada dia, bukan dia yang minat pada kau!”
Setiap perkataan yang Taqiuddin ucapkan bergema di pendengaranku. Kesemuanya benar belaka. Jika aku sendiri yang tidak berusaha, masakan apa yang kuharapkan akan datang begitu sahaja.
SUATU pagi, aku terserempak lagi dengan si dia di kedai. Sudah menjadi rutin harian, aku akan berhenti di sini untuk membeli akhbar. Dia, aku tidak pasti apa yang dilakukannya di sini. Hendak kata dia juga berhenti membeli akhbar, tidak juga. Jarang sekali aku ternampak dia mengambil senaskah.
Tanpa dirancang, secara sendirinya aku mengukir senyuman tatkala terpandangkan pakaiannya. Merah. Beberapa hari yang lepas juga begitu. Merah. Nampaknya, dia gemarkan warna tersebut. Walaupun aku masih belum tahu siapa namanya, sekurang-kurangnya, aku sudah tahu bahawa dia suka pada warna merah.
Sedang aku leka memerhatinya, dia berpaling ke arahku. Aku terpana melihat senyumannya. Senyuman itu ditujukan kepada akukah? Jika senyuman itu buatku, akulah lelaki paling bertuah di dalam dunia ini! Haih, gila bayang aku setiap hari!
“Tumpang lalu, encik.” Aku terpaku mendengar suara lunaknya. Sepadan dengan raut wajahnya yang comel itu. Tidak sedar bila dia melangkah ke arahku. Mataku tidak berkelip memandangnya.
“Encik, saya nak lalu ni. Boleh ke tepi sikit?” ulangnya, lembut menampar gegendang telinga.
Aduh, buat aku makin parah! Ini bukan setakat jatuh cinta, tetapi sudah sampai tahap tersungkur! Melihatkan matanya yang berkelip-kelip menantiku beralih ke tepi, tiba-tiba sahaja idea nakal menjengah mindaku.
“Awak boleh lalu tapi, kenalah bayar tol dulu,” tuturku dengan sengihan. Berjaya juga aku berbual dengannya.
Riak wajahnya serta-merta berubah. Mungkin hairan dengan permintaanku. Sejak bila entah aku menjadi samseng kedai ini?
“Encik ingat ini lebuh raya ke? Saya tak nampak pun pondok tol di sini.” Walaupun kedengaran sinis, dia tetap membalas dengan lembut.
Aku tersenyum meleret. “Tak perlu pondok. Saya berdiri di sini pun sudah cukup. Siapa nama awak?” soalku. Harap-harap dia sudi memberitahu namanya.
Dia tersenyum mengejek. “Tak apalah, encik. Saya tak sanggup nak membayar tolnya. Jadi, saya lalu ikut jalan lain sajalah, ya?” Dia berundur.
“Jalan lain pun, awak tetap kena bayar tol,” kataku sambil menuding ke arah lorong satu lagi yang disekat oleh seorang lelaki.
“Tetapi, tolnya tak semahal tol yang encik kenakan!” tingkahnya lalu segera beredar pergi. Cepat sahaja dia menyelit di belakang lelaki yang berdiri di lorong sebelah. Mentang-mentanglah tubuhnya kecil sahaja. Tetapi, apabila difikirkan semula, dengan saiz badannya yang kecil itu, mudah sahaja jika dia mahu menyelit di tepiku. Namun, mengapa dia memintaku memberi laluan kepadanya? Adakah itu tandanya dia turut merasai apa yang kurasakan saat ini? Mahu tetapi malu?
Sejak itu, setiap kali aku singgah di kedai tersebut, pasti aku akan tercari-cari kelibatnya. Selagi aku tidak tahu siapa namanya, aku tidak akan berputus asa. Siapa tahu, mungkin suatu hari nanti hatinya akan terbuka buatku? Aku hanya mampu berdoa semoga Allah lembutkan hatinya buatku. Setiap kali usai solat fardhu, aku tidak lupa untuk membaca dua ayat pengasih yang abangku, Taqiuddin ajarkan. Kata Taqiuddin, ia merupakan salah satu usaha terbaik bagiku kerana dengan cara ini aku berusaha secara baik dan bukanlah secara paksaan seperti penggunaan minyak pengasih atau sebarang cara lain yang dijampikan dengan menggunakan sihir.
Pagi tadi, aku lakukan perkara yang sama seperti sebelum ini. Apabila kulihat dia mahu keluar, cepat-cepat aku menyekat laluannya. Dia tidak sedikit pun mempamerkan riak marah sebaliknya dia bertanyaku, “Encik nak apa daripada saya?”
“Goreng tauhu, goreng mi Maggi, sudah tahu, tanya lagi.” Aku tarik sengih.
Dia tersenyum sinis memandangku. Setelah beberapa saat menanti, barulah dia membuka mulutnya, “Pergi ke kedai beli coffee maker, encik ni dah tak ada kerja lain ke?”
Amboi, dia balas dengan pantun juga! Senyumanku melebar. Nampaknya ada reaksi positif! Aku bersuara lagi, “Makan roti dengan kaya, awak ni suka warna merah ya?”
Dia kelihatan terkejut mendengar pertanyaanku. Dilihat-lihat tudung yang terletak elok di kepalanya. Walaupun hari ini dia memakai tudung berlatar putih, warna coraknya tetap warna merah. Memang hantu merah dia ni!
“Goreng tauhu, goreng mi Maggi, sudah tahu, tanya lagi!” jawabnya sambil menekup mulut menahan tawa.
Macam kenal sahaja dengan pantun tu. “Aik? Curi pantun saya nampak?”
“Oh, pantun tu encik yang punya ke? Tak pernah dengar pulak siapa nama tuan punya pantun tu. Maaflah, ya? Saya tak tahu.” Selamba sahaja dia membalas.
Sengaja aku jegilkan mataku kepadanya. Riak wajahnya sedikit pun tidak berubah sebaliknya dia melepaskan keluhan. Kemudian, dia berkata, “Encik, saya dah malas nak join sesi membalas pantun dengan encik. Saya ada hal lain lagi ni. Saya pergi dululah, ya?” Dia cuba untuk memboloskan dirinya di ruang sempit di antara aku dan rak majalah.
“Kutip tin pungut botol, awak belum bayar tol!” Sekali lagi aku mendepangkan tanganku menghalangnya, lagak seperti samseng kedai buku.
“Tanah paya tanah tak subur, nama saya Nur. Jadi, boleh saya lalu sekarang, encik?” Akhirnya, dia mengalah juga.
Aku memberikan laluan kepadanya tetapi, sebelum dia melangkah pergi, sempat kumenyoal buat kali terakhir, “Nur saja? Berilah nama penuh!”
Dia tersenyum. “Sikit-sikit lama-lama jadi bukit, encik. Kalau habis bukit saya encik tarah, saya nak bayar tol dengan apa lagi?” jawabnya.
“Jadi, lain kali, saya boleh minta awak bayar tol lagilah, ya?” soalku dengan penuh teruja. Seronoknya rasa! Lebih gembira daripada saat menerima hadiah.
Dia sekadar tersenyum nipis. Langkah kakinya dibawa ke pintu kedai. Selepas itu, tidak sekalipun dia menoleh ke belakang.
LAGU Kekasih Halal dendangan Wali Band berkumandang di corong radio keretaku. Sambil memandu, aku melafazkan lirik lagu tersebut mengikut rentaknya. Kuketuk-ketuk jemari di stereng. Bunga-bunga dihatiku berkembang mekar. Senang kerana aku sudah berjaya memperolehi namanya. Nur Hidayatul Akma. Sedap nama itu. Sesuai dengan pemiliknya yang kecil molek dan ceria.
Secara automatik, aku pasti akan tersenyum sendiri tatkala teringat akan bagaimana aku memperolehi namanya. Satu perkataan pada setiap pertemuan. Cara tersebut benar-benar membuatkan aku berasa teruja dan tidak sabar mahu bersua dengannya lagi.
Walaupun setiap pertemuan tidaklah lama, tetapi aku dapat merasakan seolah ada tarikan di antara kami. Hatiku kuat mengatakan bahawa dialah jodoh terbaik buatku.
Sedang aku leka menyanyi, tiba-tiba kelihatan seorang kanak-kanak perempuan melintas tidak jauh di depan keretaku. Kemudian, seorang perempuan bertudung merah pula muncul mengejar kanak-kanak tersebut. Aku kaget. Cepat-cepat kakiku menekan brek. Berdecit bunyi tayar bergesel kuat dengan permukaan jalan raya.
Setelah membebaskan gear, aku meluru keluar. Alangkah terkejutnya aku tatkala terpandangkan wajah si pemilik tudung merah itu. Nur Hidayatul Akma! Alhamdulillah, mujur aku sempat menekan brek dan tidak melanggar mereka tadi. Lega sangat rasa hatiku.
“Ama… Ama!” Kanak-kanak perempuan itu mula meraung. Mungkin dia terkejut dengan apa yang berlaku tadi.
“Shhh… Ama ada di sini. Jangan menangis ya?” pujuk Nur Hidayatul Akma.
Aku bingung. Apakah hubungan di antara mereka berdua? Perlahan-lahan kuhampiri mereka. “Awak tak apa-apa?” soalku.
Dia menggeleng sambil mengusap-usap belakang badan kanak-kanak itu.
“Siapa ni?” Walaupun aku rasa soalan tersebut tidak kena dengan waktunya, aku tidak dapat membendung perasaan ingin tahuku.
Dia tidak menjawab sebaliknya masih cuba memujuk kanak-kanak perempuan itu.
“Ama, Fifah nak papa. Fifah nak papa! Fifah takut!” ucap kanak-kanak yang membahasakan dirinya dengan nama Fifah itu sambil melompat-lompat dalam pelukan Nur Hidayatul Akma.
“Ya, sayang. Ama tahu. Nanti Ama call papa, suruh papa balik, ya sayang?”
Ama? Mama? Aku makin bingung. Perempuan yang kuminati sebenarnya sudah menjadi isteri orang? Oh, tidak! Tiba-tiba sahaja aku rasa bahawa duniaku menjadi gelap. Kosong. Sinar yang dibawanya hilang begitu sahaja.
“Encik Taufiq, saya balik dulu, ya?” katanya lembut.
Aku yang masih termangu-mangu, merenungnya dengan pandangan kosong.
“Kami balik dulu!” ulangnya.
“Hah? Err… awak tak nak pergi ke klinik dulu? Betul tak ada apa-apa ni?”
“Tak ada apa-apa. Luka sikit saja ni. Balik ke rumah nanti saya letak ubat. Kami balik dulu, ya? Fifah dah tak sabar nak bertemu dengan papanya.”
Hatiku bertambah sakit. Selamba sahaja dia menuturkannya tanpa mempamerkan rasa bersalah kerana melayan dan memberi harapan kepadaku. Alih-alih, dia sudah berpunya dan sudah memiliki cahaya mata.
Aku biarkan mereka berlalu pergi tanpa sebarang kata. Lama aku berteleku di hadapan deretan rumah kedai itu. Aku hanya kembali ke kereta setelah mendengar bunyi hon bertalu-talu di belakang keretaku.
Malam itu, aku ceritakan segala-galanya kepada Taqiuddin dengan harapan dia dapat menasihatiku agar kulupakan sahaja perempuan bertudung merah itu. Hanya itu yang kumahukan. Aku ingin dengar seseorang menyuruhku berhenti dan mengatakan bahawa ia bukan salahku. Aku tidak bersalah mencintai isteri orang kerana aku tidak tahu.
Namun, reaksi yang kuterima bukanlah seperti apa yang kuharapkan. Sebaliknya, aku dikatakan bodoh oleh abangku sendiri.
“Bodohlah kau ni, Taufiq! Kalau betul dia dah berkahwin, takkanlah dia nak layan kau? Cuba kau fikir semula.” Taqiuddin menggeleng-geleng. Aku dapat meneka apa yang difikirkannya tentangku.
“Tak mustahil, kan? Bukannya tak ada perempuan begitu di dalam dunia ni.” Aku masih dengan pendapatku.
“Memang ada tapi, kau rasa dia begitu?” Taqiuddin merenung anak mataku mencari jawapan jujur daripadaku.
Aku mengangkat bahu. “Entah.”
“Sebenarnya, kau tak rasa begitu pun, kan? Kalau betul-betul kau rasa begitu, aku kecewa dengan kau, Taufiq.” Dia mengeluh.
“Kenapa pulak?” Hampir bertaut kedua-dua keningku.
“Sebab kau boleh jatuh cinta pada perempuan sebegitu. Aku kecewa. Tak sangka adik aku mudah tertarik pada perempuan tidak sedar diri begitu. Sudah tahu diri itu milik orang, masih melayan lelaki lain.”
Aku terdiam. Benar seperti apa yang Taqiuddin katakan. Jika Nur Hidayatul Akma begitu orangnya, nampak sangat aku ini begitu mudah dikaburi oleh senyuman manis dan lenggok tubuh seorang perempuan.
“Taufiq, kalau kau berjumpa dengan dia lagi, kau tanyalah secara elok. Benar ke dia tu isteri orang? Jangan kerana perkara begini wujudnya salah faham di antara kau orang berdua. Jangan sampai kau menyesal!”
“Tapi, Taqi… aku tak mahu bertambah kecewa. Aku… aku tak yakin dengan jawapan yang bakal aku terima. Aku tak silap dengar, Taqi. Budak tu panggil dia Ama! Dan aku yakin panggilan itu bermaksud mama!”
Taqiuddin bangun. “Terpulanglah, Taufiq. Kalau kau rasa apa yang kau fikirkan itu betul, kau teruskan dengan keputusan kau untuk melupakan dia begitu saja. Tetapi, satu saja yang boleh aku katakan, kau pengecut! Kau takut untuk menyingkap kebenaran! Kau lebih rela membuat kesimpulan sendiri daripada berusaha. Sia-sia saja nasihat aku selama ini!”
MASUK hari ini, sudah tiga minggu aku tidak bertemu dengan Nur Hidayatul Akma. Bermakna, sudah tiga minggu juga aku tidak singgah ke kedai itu membeli akhbar. Sesungguhnya aku rindu pada senyumannya tetapi, aku cuba pendamkannya. Kalau boleh, mahu sahaja aku bersua dengannya tetapi, egoku menghalangku daripada berbuat begitu. Aku lelaki bekerjaya, punya wang dan rupa. Aku boleh mencari perempuan lain jika kumahu. Aku seharusnya melupakan Nur Hidayatul Akma kerana dia bukan milikku.
Namun, semua itu tidak semudah kata-kata. Bertambah sukar apabila aku terserempak dengannya di kampus ketika menghantar sebuah fail penting atas permintaan Taqiuddin. Kami sama-sama terkejut ketika bersua muka. Aku dengan Taqiuddin dan dia bersama kawan-kawannya.
Setelah beberapa saat, dia mengukir senyuman buat kami lalu berkata, “Doktor Taqiuddin, Encik Taufiq.”
“Eh, kau kenal student aku, Taufiq?” Taqiuddin menyiku lenganku ketika mataku masih terkebil-kebil memandang Nur Hidayatul Akma. Merah. Setiap kali aku bertemu dengannya, pasti warna itu tidak segan membaluti tubuhnya.
Aku diam dan terus-terusan merenung wajah yang kurindui itu.
“Taufiq, jangan cakap Akma ni perempuan tu?” tanya Taqiuddin lagi.
Nur Hidayatul Akma kelihatan terpinga-pinga. “Perempuan tu?”
“Akma, awak dah berkahwin?” soal Taqiuddin.
Secepat kilat aku menyiku rusuk abangku membuatkan dia menyeringai kesakitan. Menyibuk sahaja! Aku tidak pernah menyuruhnya bertanya.
“Kahwin? Kenapa doktor tanya begitu? Saya ni nampak seperti orang dah berkahwin ke?” Nur Hidayatul Akma ketawa kecil.
“Saya tak rasa begitu pun tapi, adik saya ni cakap, awak dah berkahwin. Sebab itulah saya tanya awak!”
“Oh, Encik Taufiq ni adik doktor rupanya. Tak sangka pulak. Patutlah dah lama tak ada orang minta….” Dia seolah sengaja membiarkan ayatnya tergantung. Tersenyum-senyum dia memandangku manakala tubuh rakan-rakannya sudah bergegar menahan ketawa.
Pipiku terasa hangat menahan malu. Tanpa berfikir panjang aku berkata, “Nur Hidayatul Akma, can we talk?”
Sebaik mendengar kata-kataku, mereka semua ketawa sambil mengusik-usikku.
“Nama penuh tu… Kalau dah tahu nama bapak, bolehlah berjabat tangan dengan tok kadi!” Terdengar salah seorang daripada kawan-kawannya bersuara.
Aku cuba bertahan. Kata orang, control macho, beb!
“Boleh tapi…,” dia berpaling ke arah rakan-rakannya sebelum menyambung, “kawan-kawan saya kena ikut sekali!”
Aku hampir-hampir ternganga mendengar permintaannya. Malulah kalau orang lain mendengar perbualan kami nanti. Walau bagaimanapun, kuanggukkan juga kepalaku tanda bersetuju.
Di kafetaria, aku jadi kelu. Kawan-kawannya tersengih-sengih memandangku. Aku berdehem berkali-kali tetapi suaraku masih tidak mahu keluar.
“Encik Taufiq fikir saya dah berkahwin, ya?”
Pertanyaan itu membuatkanku tertunduk. Malu untuk bertentang mata dengannya kerana aku tergesa-gesa membuat tanggapan sendiri tanpa bertanya terlebih dahulu. Kepala kuangguk perlahan.
“Kenapa encik fikir saya dah berkahwin?” tanyanya lagi.
“Sebab awak dah ada anak,” jawabku perlahan. Serentak itu, terburai ketawa mereka.
“Anak? Maksud Encik Taufiq, adik sepupu saya tu? Fifah?”
Aku langut. Wajahnya kelihatan merah padam, mungkin kerana dia cuba mengawal ketawanya di hadapanku.
“Manalah saya tahu yang budak tu adik sepupu awak. Dia panggil awak Ama. Saya ingat dia panggil awak mama,” jelasku.
“Jadi, itulah sebabnya Encik Taufiq dah lama tak pergi ke kedai tu beli surat khabar, ya? Sebab tak nak terserempak dengan saya?” Dia semakin berani bertanya. Mentang-mentanglah dia ditemani oleh rakan-rakannya, dia semakin suka mengusikku pula!
“Jadi, awak pun tertunggu-tunggu kemunculan sayalah, ya?” Sengaja aku membalas dengan soalan juga. Soalan perangkap.
Dia tertegun. Dia kemudiannya mengangguk dalam keadaan tersipu-sipu malu.
“Awak suka pada saya?” Giliranku pula menunjukkan keberanianku.
Dia mengangkat bahu.
“Boleh saya berkawan dengan awak?”
Dia mengangguk. “Boleh tapi, pergilah ke rumah jumpa pak cik saya dulu. Kalau pak cik cakap okey, saya okey saja.”
Yes! Terasa mahu sahaja aku melompat ketika itu. Gadis bertudung merah di hadapanku kini sudah membuka pintu hatinya buatku berkat doa yang kupanjatkan setiap hari selepas solat fardhu. Alhamdulillah.
Tujuh bulan selepas itu, atas restu keluarga, kami selamat dinikahkan. Senang hatiku kerana diriku terpilih untuk menjadi kekasihnya yang halal. Biarpun percintaan kami tidaklah seperti percintaan orang lain tetapi, manisnya tetap ada kerana dialah satu-satunya gadis bertudung merah yang berjaya mencuri hatiku.
-TAMAT –
p/s : Cerpen ini mungkin agak pendek disebabkan cerpen ini Hany tulis sempena Peraduan Menulis Cerpen anjuran KEN bulan lepas. Hany ingat nak sambung lagi tapi, buat masa sekarang takde masa. Disebabkan dah lama tak hantar karya ke Penulisan2u, Hany hantar versi ini dulu. Lain kali bila ada masa, Hany hantar versi 2 yg lebih panjang. Harap korang semua terhibur dan kalau boleh, tinggalkan komen yg membina supaya Hany boleh perbaiki karya Hany pada masa akan datang. =)

-Jack-  di ambil dari :








Tidak ada komentar:

Posting Komentar